Sokongan berterusan kerajaan nadi tangani isu belia

Iklan
Dr Wasitah menyampaikan hujah pada Wacana Sinar siri ke 182 yang membincangkan tajuk Masalah Belia: Isu Yang Tak Sudah. Foto:ROSLI TALIB

SHAH ALAM - Sokongan yang berterusan menjadi perkara utama yang diberi perhatian kerajaan dalam usaha memangkin pembangunan belia seterusnya ke arah memberi penyelesaikan terhadap isu-isu membabitkan golongan itu di negara ini.

Pengarah Kemahiran Pembangunan Kemahiran Belia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Dr Wasitah Mohd Yusof berkata, bagi merealisasikan matlamat tersebut, inisiatif perlaksanaan pelbagai program menjadi nadi dalam usaha berterusan oleh KBS sendiri.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, tidak dinafikan KBS berdepan cabaran dalam konteks memastikan keberkesanan inisiatif yang dijalankan terhadap pembangunan belia secara keseluruhannya khususnya ketika negara masih sedang melalui ancaman wabak koronavirus (Covid-19).

"Isu yang kita perlu lihat untuk membangunkan belia ialah satu perkara yang berterusan dan ditangani dari sudut perlaksanaannya mahupun perancangannya dengan konsisten seterusnya menilai (keberkesanannya).

Iklan

"Menyentuh tentang penilaian, kita bermula dengan perlaksanaan program yang merupakan perkara utama dipertanggungjawabkan kepada KBS.

"Dalam perkara ini tentu saja cabaran untuk pergi ke kumpulan sasar yang menerima faedah daripada program itu, sama ada untuk membangunkan belia, sebagai pencegahan ataupun merancang sesuatu program.

Iklan

"Misalnya program bagi pasca Covid-19, kita menangani isu keresahan belia dalam ekonomi,"katanya selaku penalis Wacana siri 182 bertajuk Masalah belia: Isu yang tak sudah di Studio F, Karangkraf di sini semalam.

Beliau berkata, KBS juga tidak boleh mengambil sikap pejam mata terhadap kelompok belia yang mungkin ketinggalan daripada menerima manfaat yang disediakan.

Katanya, akses untuk belia mendapat latihan dan kemahiran yang diperlukan industri antara yang diberi perhatian.

"Kerana itu kita lihat Program Skim Perantisan Nasional (SPN) bersesuaian ketika ini. SPN dilancarkan dengan sokongan kementerian utama seperti Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kerja Raya.

"Ini yang sebenarnya merupakan pemangkin yang boleh menyediakan tenaga di luar atau pihak yang boleh sediakan peruntukan untuk mereka mendapatkan latihan kemahiran,"katanya.

Ujar beliau lagi, kerajaan membentuk potensi belia dengan meningkatkan daya kerjasama dan daya saing belia supaya menjadi warga masa depan yang dapat menyumbang kepada negara.

"Kita tidak boleh menyediakan masa depan mereka tapi boleh menyediakan belia untuk masa depan.

"Bermakna, dalam proses membangunkan belia, faktor sokongan sangat penting. Sama ada sebagai aset luaran serta pembentukan belia positif kerana belia harus disediakan kerana mereka sebagai aset,"katanya.