SEREMBAN - Semua anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini dinasihatkan sentiasa peka dengan masalah yang dihadapi masyarakat setempat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, anggota MPKK merupakan pengantara masyarakat yang penting dengan kerajaan negeri dalam menyampaikan maklumat sahih.
"Tahniah saya ucapkan kepada semua Pengerusi serta Setiausaha MPKK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat yang baru dilantik ini.
"Sebagai MPKK, anda adalah mata dan telinga kepada Kerajaan Negeri dalam menyampaikan maklumat. Santunilah masyarakat setempat dengan sebaiknya," katanya dalam Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan MPKK dan Geran Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) Dun Sikamat di Balairaya Taman Desa Rhu, hari ini.
Tambahnya, MPKK perlu bertindak dengan lebih proaktif serta tidak hanya menunggu menerima laporan.
"Mereka perlu bergerak aktif bagi mengenal pasti masalah penduduk dan juga kawasan masing-masing.
"Jalankan tanggungjawab dengan amanah dan ikhlas," kata beliau lagi.
Dalam pada itu, seramai 17 individu menerima geran Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) fasa pertama bagi DUN Sikamat, untuk memajukan perniagaan mereka.
Beliau yang juga ADUN Sikamat menambah, pemberian geran tersebut adalah inisiatif kerajaan negeri bagi menggalakkan pembangunan usahawan di Negeri Sembilan.
"Bagi membantu lebih ramai peniaga terutamanya dalam keadaan ekonomi pasca koronavirus (Covid-19), Kerajaan Negeri telah menambah peruntukan TUNS daripada RM5 juta kepada RM6 juta.
"Insya-Allah, semoga dana ini dapat membantu melonjakkan ekonomi pasca Covid-19 dalam negeri ini dengan lebih baik," katanya.