SHAH ALAM - Golongan belia perlu merebut pelbagai peluang yang disediakan oleh kerajaan menerusi platform e-portal belia yang mempunyai pelbagai akses termasuk Skim Perantisan Nasional dan program- program insentif daripada Penjana.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Mursyid Arshad berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan menunjukkan hanya 0.1 peratus daripada golongan itu yang memanfaatkan kemudahan disediakan menerusi platform tersebut.
"Saya lihat lebih kurang 250,000 sahaja pelayar yang mengakses portal tersebut dan jumlah ini agak rendah berdanding dengan kompisisi 32.6 juta rakyat Malaysia di mana 9.2 juta daripadanya adalah golongan belia yang berusia antara 15 hingga 30 tahun.
"Jadi peluang ini perlu direbut, cuma sejauh manakah maklumat ini sampai kepada golongan belia perlu diberi perhatian dan mungkin sesuatu perlu dibuat untuk menggalakkan lagi golongan ini mendapatkan akses serta maklumat tersebut,” katanya selaku penalis Wacana 182 bertajuk Masalah belia: Isu yang tak sudah di Studio F, Karangkraf di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Dr Mohd Mursyid berkata, hampir 94.4 peratus golongan belia menyambut baik dan mengikuti insentif yang diberikan oleh kerajaan.
Katanya, insentif yang diberikan itu sebenarnya dekat dengan hati belia yang merupakan salah satu keperluan dalam menjana ekonomi mereka.
"Apabila kita lihat dalam konteks semasa pasca Covid-19 banyak industri yang terjejas terutamanya sekali dalam sektor pembuatan, perhotelan dan beberapa industri lain sekaligus meningkatkan kadar pengangguran daripada 3.2 peratus pada Mac kepada 5.3 peratus Mei lalu.
"Jadi kalau kita tengok angka penggangguran tersebut meningkat secara dramatik daripada 520,000 pada bulan Mac sehingga yang terkini sekitar 826,000 dan berdasarkan kajian yang kita lakukan hampir 40 peratus industri yang terjejas dipelopori oleh golongan belia,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Mohd Mursyid menyifatkan insentif-insentif yang diberikan oleh kerajaan tepat pada masanya dengan melihat beberapa sektor yang boleh dikembangkan termasuklah sektor MyGIG dan sektor ekonomi yang memberikan peluang-peluang perniagaan tersebut dilakukan secara atas talian.
Katanya, ia merupakan salah satu inisiatif yang boleh direbut oleh golongan belia sekaligus menangani keresahan yang membelenggu mereka.membolehkan golongan belia rebut.
"Malah berdasarkan survey yang dilakukan baru-baru ini juga kita dapati bahawa keresahan paling tinggi golongan belia adalah menjurus kepada ekonomi negara, pengangguran dan kesukaran mendapatkan pekerjaan.
"Kesemua ini melibatkan ekonomi belia, jadi mereka perlu bijak menggunakan semua kemudahan dan platform yang disediakan dalam membangunkan kemahiran masing-masing melalui insentif disediakan oleh kerajaan,” katanya.