GEORGETOWN - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 7 Ogos ini untuk pengurusan kes bagi permohonan seorang remaja yang berdepan pertuduhan membunuh bayi perempuan baru dilahirkannya untuk dibebaskan dengan jaminan.
Hakim Datuk Amirudin Abd Rahman menetapkan tarikh itu selepas pihak responden yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan memohon satu tarikh masa bagi meneliti afidavit yang baru diterima daripada peguam pemohon R S N Rayer sebelum mengemukakan semula afidavit jawapan dan bantahan atas permohonan pemohon.
Sementara itu, Rayer memberitahu mahkamah permohonan untuk membebaskan anak guamnya M Santhiea, 18, dengan jaminan kerana tertuduh merupakan seorang wanita dan sedang menjalani rawatan di Wad Bersalin Hospital Pulau Pinang, di sini serta masih tidak sihat.
ARTIKEL BERKAITAN: Bayi baru dilahirkan maut dicampak dari tingkat 13
Pelajar kolej dituduh bunuh bayi
Pada prosiding itu, Rayer turut memohon kepada mahkamah supaya membenarkan tertuduh terus mendapatkan rawatan di hospital itu sehingga remaja terbabit sembuh sepenuhnya sebelum dibawa ke penjara.
Pada 16 Julai lepas, Santhiea dituduh membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkan di rumah keluarganya di Air Itam, di sini.
Pertuduhan terhadapnya dilakukan di Wad Bersalin Hospital Pulau Pinang berikutan remaja itu masih menjalani rawatan di hospital berkenaan.
Tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian bayinya di laluan ke kawasan tempat letak kenderaan aras 4, Sri Ivory Apartment, Bandar Baru Ayer Itam, di sini, pada 8.25 pagi, 10 Julai lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan. - Bernama