GEORGETOWN - Dua beradik ditahan dipercayai dalang sindiket keldai akaun selepas polis menyerbu sebuah rumah di Gelugor di sini, pada jam 10 malam, Rabu lalu.
Kedua-dua suspek berusia 20 dan 26 tahun itu ditahan sepasukan polis selepas menerima maklumat daripada seorang lelaki yang terkejut apabila mendapati sejumlah besar wang ada dalam akaun bank.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, dua beradik itu dipercayai menggunakan akaun bank individu lain untuk menipu dengan kerugian lebih RM800,000.
Menurutnya, polis menerima laporan daripada pemilik akaun berusia lingkungan 20-an itu yang baru pulang dari bekerja di sebuah kilang di New Zealand.
"Lelaki tersebut baru pulang ke negara ini setelah setahun bekerja di luar negara namun terkejut apabila mendapati wang berjumlah RM800,000 berada dalam akaun bank miliknya. Dia yang curiga dan takut, terus membuat laporan polis.
"Dia mendakwa pernah membuka empat akaun bank sebelum ke luar negara serta pernah mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Dia kemudiannya menyerahkan semua kad bank dan dokumen SSM tersebut kepada suspek yang dikenali menerusi rakannya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek memberitahu lelaki itu bahawa kad bank dan dokumen tersebut adalah untuk disewa dengan bayaran RM500 setiap bulan.
"Lelaki tersebut mengakui menerima RM500 setiap bulan sejak tahun lalu seperti dijanjikan suspek. Bagaimanapun, dia mula curiga kerana terdapat transaksi yang banyak dalam akaunnya selain gagal menghubungi kedua-dua suspek untuk penjelasan.
"Selain Pulau Pinang, siasatan juga mendapati, kedua-dua suspek tersebut mempunyai rangkaian sindiket di beberapa buah negeri. Difahamkan, ketua sindiket ini berada di ibu negara namun siasatan masih dijalankan," katanya.
Mohd Rosni berkata, dalam serbuan tersebut, polis turut merampas sembilan kad debit pelbagai bank; 14 buah buku cek; 10 cop syarikat, 13 dokumen pendaftaran syarikat yang berdaftar dengan SSM dan dua buah telefon bimbit.
"Siasatan mendapati, modus operandi sindiket ini adalah dengan menawarkan wang kepada pemilik akaun bank untuk menyewa kad bank sebagai medium pemindahan wang.
"Mereka menjadikan mangsa sebagai keldai akaun untuk menjalankan kegiatan penipuan pinjaman tidak wujud, pembelian dalam talian serta judi online," katanya.
Tambahnya, selain lelaki tersebut, suspek juga didapati menggunakan dua akaun bank milik individu lain untuk kegiatan sama.
"Kita sedang menyiasat sama ada masih ada individu lain yang meminjamkan akaun bank mereka kepada suspek untuk tujuan penipuan. Selain akaun bank, suspek juga menggunakan 'floating cheque' untuk mengaburi mata mangsa.
"Suspek menggunakan cek tersebut untuk meyakinkan mangsa kononnya wang pinjaman yang dibuat telah dikeluarkan yang mana, mangsa diminta untuk membuat pelbagai bayaran pendahuluan.
"Sementara itu, dokumen SSM tersebut digunakan untuk meyakinkan mangsa tentang kewujudan syarikat yang menawarkan pinjaman dan bukan orang perseorangan," katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman untuk disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Kita juga sedang mengesan beberapa suspek lagi dipercayai terlibat dalam rangkaian sindiket ini.
"Saya menasihatkan orang awam agar tidak membenarkan akaun bank peribadi digunakan oleh pihak lain untuk kegiatan penipuan kerana ia dianggap bersubahat dan boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.