BALING - Seorang lelaki maut dihempap pokok di dusun durian miliknya di Kampung Masjid, Kuala Kuang, Kupang, dekat sini kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa yang berusia 50 tahun itu sedang menebang pokok jenis balik angin ketika membersih kawasan dusun durian miliknya sebelum ditimpa pokok itu.
"Saksi yang berada di tempat kejadian telah menghubungi pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Baling, polis dan Hospital Baling untuk meminta bantuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.27 tengah hari sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira 22 minit selepas itu.
"Jentera tidak dapat naik ke lokasi kejadian kerana faktor jalan yang sempit dan berbukit. Anggota terpaksa menaiki motosikal orang awam ke lokasi mangsa bersama dengan anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.
Menurut beliau, pasukannya mengambil keputusan untuk melalui jalan bukit tersebut ke lokasi kejadian walaupun sukar kerana jaraknya lebih dekat berbanding laluan denai yang mengambil masa kira-kira 25 minit.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh wakil KKM," katanya.
Mohamadul Ehsan berkata, anggota Bomba Baling menggunakan pengusung bagi membawa turun mangsa dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.