LABIS - Misteri bau busuk yang dihidu seorang tukang sapu di bandar ini terungkai apabila satu mayat ditemui dalam sebuah kedai hari ini.
Tukang sapu berkenaan pada mulanya melakukan kerja berhampiran sebuah spa di Stesen Bas Labis di sini sebelum terhidu bau busuk pada jam 1.36 petang.
Mengesyaki sesuatu yang mencurigakan, tukang sapu berkenaan menelefon Balai Polis Labis untuk menjalankan siasatan.
Anggota balai berkenaan bagaimanapun tidak dapat masuk kerana kedai terbabit berkunci dari dalam sebelum meminta bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis.
Komander operasi, Penguasa Bomba Kanan II Sharfini Nasar berkata, seramai 10 anggota BBP berkenaan dikejarkan ke tempat kejadian.
"Mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) dan satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
"Bomba menggunakan peralatan khas membuka pintu kedai tersebut sebelum menemui satu mayat dalam keadaan terlentang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Sharfini berkata, proses nyah cemar terhadap mayat berkenaan dilakukan petugas perubatan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakah lanjut.
Menurut beliau, operasi tamat pada jam 2.20 petang.