FGV Holdings Berhad (FGV) akan bekerjasama dengan lebih banyak pengedar perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam usaha mengembangkan perniagaan makanan dan nutrisi haiwan, serta bagi menembusi pasaran di seluruh negara dengan lebih berkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, di bawah sektor Pertanian Bersepadu, makanan dan protein haiwan telah dikenal pasti sebagai aliran pendapatan yang semakin penting bagi Kumpulan FGV.
Menurutnya, dengan lebihan bahan mentah yang berasal dari ladang dan kilang kelapa sawit, mereka dapat menghasilkan sehingga 400,000 metrik tan makanan haiwan berkhasiat setiap tahun.
"Sumber dedak isirung sawit yang diperolehi secara dalaman sebagai salah satu ramuan makanan haiwan sangat penting untuk memastikan makanan ini dihasilkan dengan standard yang tinggi demi menjaga kualiti dan kesihatan ternakan.
"Sumber bahan dalaman juga sangat penting untuk pengesanan yang merupakan ciri utama produk keluaran kami. Kami tahu sumber bahan-bahan bagi penghasilan makanan haiwan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Haris berkata, FGV melalui anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian perkongsian pengedaran dengan My Agro Hub Resources (My Agro Hub) untuk memasarkan anggaran 30 metrik tan setiap bulan makanan haiwan yang diformulasikan kepada petani lembu tenusu, lembu daging dan kambing di Negeri Sembilan dan Melaka baru-baru ini.
"Sebagai pengedar produk makanan haiwan FGV yang dilantik, My Agro Hub akan menikmati semua faedah dan kaedah yang disediakan oleh FGV.
"My Agro Hub juga akan menjadi antara beberapa ladang pertama yang menguji makanan kambing formulasi FGV yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Kedua-dua pihak menyasarkan petani tempatan serta kedai makanan haiwan dan peruncit di Negeri Sembilan dan Melaka. My Agro Hub juga adalah pembekal makanan haiwan halal untuk petani tempatan di dua negeri tersebut," katanya.
Tambahnya, pada awal tahun ini, FGV menandatangani perjanjian dengan enam pengedar di negeri Pahang, Kelantan, Selangor dan Kedah.
"FGV merancang untuk menggandakan jumlah pengedar pada akhir tahun termasuk pengedar untuk negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Untuk meningkatkan jangkauan pasaran para petani kepada makanan haiwan dan nutrisi haiwan yang berkualiti, FGV akan mendorong PKS yang berpotensi untuk setiap daerah agar mendaftar dengan FGV sebagai pengedar yang dilantik.
"Dengan pertumbuhan yang menggalakkan dalam perkongsian pengedar, FGV yakin bahawa sasaran sebanyak 50,000 metrik tan untuk jumlah jualan pada tahun ini dapat dicapai," katanya.