Bersatu Blackout tanding PRK DUN Slim

Iklan
Marzuki Yahya

SHAH ALAM - Bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan pihaknya akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Menurut laporan Malaysiakini, bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya berkata, pihaknya akan meletakkan calon untuk menentang calon Perikatan Nasional (PN) dengan mendakwa keputusan tersebut dibuat selepas seorang ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyatakan bahawa tidak akan bertanding pada PRK tersebut.

Iklan
Iklan

"Kami Bersatu Blackout akan bertanding DUN Slim. Ini kerana seorang ahli Majlis Presiden PH menerusi pesanan ringkas kepada saya berkata, bahawa PH tidak akan bertanding. Mereka tarik diri," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan menggunakan logo PH pada PRK tersebut.

Iklan

"Kami tidak akan bertanding menggunakan logo PH. Sama ada kami guna lambang baru atau lambang yang diberikan oleh SPR," katanya.

Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya Datuk Khusairi Abdul Talib daripada BN meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.

Iklan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh PRK DUN Slim, Perak.

Pada PRU ke-14, lalu Khusairi memenangi kerusi DUN Slim dengan menewaskan calon Bersatu, Mohd Amran Ibrahim dan Muhammad Zulfadli Zainal dari PAS.

Allahyarham memperoleh 8,327 undi dengan majoriti 2,183 undi

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, parti itu dalam keadaan bersiap sedia menghadapi PRK berkenaan.

"Kami dalam keadaan bersedia menghadapi PRK menentang PN. Hanya menunggu pengumuman rasmi daripada pucuk pimpinan PKR," katanya.

Beliau turut memaklumkan PKR Perak akan mengadakan mesyuarat yang akan diketuai pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak malam ini sebelum menghantar laporan PKR negeri kepada pusat.

"PKR Perak akan mesyuarat malam ini untuk memuktamadkan beberapa isu sebelum laporannya dihantar kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan selanjutnya.

"Kajian lapangan yang dilakukan oleh jawatankuasa teknikal sejak Selasa lalu turut akan dibincangkan dalam mesyuarat hari ini," katanya.

Ditanya adakah PKR telah mengenal pasti calon, Arafat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta mengesahkannya, namun belum ada keputusan muktamad.

"Ya, kami telah senarai pendek beberapa nama. Tapi belum muktamad. Segala keputusan berhubung calon akan dibuat di peringkat pusat nanti," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Chan Li Kang berkata, keputusan rasmi PH berhubung PRK Slim akan diumumkan pada Isnin depan.

"PH akan umum secara rasmi selepas mesyuarat di parlimen pada Isnin ini," katanya.