SHAH ALAM - Firma guaman yang mewakili bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan salinan saman pemula telah diserahkan kepada Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Azalina Othman Said bagi mencabar pelantikan mereka sebagai speaker Dewan Rakyat serta timbalan speaker Dewan Rakyat hari ini.
Memetik laporan Malaysiakini, Tetuan Law Practice of Rafique dalam satu kenyataan berkata, selain Azhar dan Azalina, salinan termeterai saman pemula itu turut diserahkan kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.
Menurutnya, selain Dr Mahathir yang juga ahli Parlimen Langkawi, firma mereka turut mewakili empat yang lain iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun); Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).
"Pada jam 2.55 petang ini saman pemula termeterai bertarikh 23.07.2020 serta afidavit sokongan Tun Dr Mahathir Mohamad yang diikrarkan pada 23.07.2020 telah diserahkan secara kendiri ke atas keempat-empat defendan di Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat, Jalan Parlimen Kuala Lumpur," katanya.
Katanya, Dr Mahathir dan empat plaintif lain memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar kesahihan pelantikan itu, semalam.
"E-review bagi saman pemula ini telah ditetapkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ahmad Kamal Md Shahid pada jam 9 pagi 11 Ogos," katanya.
E-review adalah satu bentuk tele-persidangan dalam talian di mana pihak-pihak yang terlibat dalam masalah undang-undang boleh menjalankan pengurusan kes dari jauh tanpa perlu datang ke mahkamah secara fizikal.
Terdahulu, Dr Mahathir bersama empat ahli Parlimen mengemukakan permohonan di mahkamah bagi mencabar pelantikan Azhar dan Azalina sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Turut dinamakan sebagai defendan dalam saman pemula tersebut ialah Mohd Rashid Hasnon dan Nizam Mydin.