Afdlin puji kerajaan pantas tangani polemik Akta 244 Finas

Iklan
Afdlin Shauki

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan membenarkan semua pengguna media sosial memuat naik video tanpa perlu mendapatkan lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pastinya memberi kelegaan semua pihak terutama golongan penggiat seni.

Selebriti dan penggiat filem, Datuk Afdlin Shauki berkata, keputusan kerajaan memberi penjelasan sebenar berkenaan pendirian asal dikemukakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah semalam dengan pantas juga wajar dipuji kerana tindakan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan sedia ada terhadap kegusaran rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, platform media sosial sebenarnya amat penting kepada usaha memperkembangkan bakat seni, kreativiti dan perniagaan dalam kalangan anak muda bukan sahaja di peringkat domestik, bahkan antarabangsa.

"Bagi saya, (langkah memperkenalkan) lesen muat naik video di media sosial memang tidak masuk akal.

Iklan

"Saya rasa kerajaan pun sedar akta itu (Akta 244 Finas) tidak relevan dengan situasi semasa...yang bagus kerajaan cepat bertindak dan respons bagi menjelaskan maksud sebenar kerajaan.

"Maklum balas pantas juga membuktikan kerajaan tidak angkuh dan bersikap ego, bahkan mereka sedar kuasa rakyat sebenarnya ada di media sosial dan internet," katanya ketika sesi SinarLive anjuran Sinar Harian yang dikendalikan moderator, Haslina AR Kamaludin.

Iklan

Afdlin yang popular dengan pengarahan filem Papadom turut bersetuju 100 peratus dengan langkah kerajaan untuk meminda segera Akta 244 Finas yang dilihat begitu lama dan tidak bersesuaian dengan keperluan semasa.

Menurutnya, pada zaman ini, media sosial dan internet adalah platform terbaik untuk golongan muda dan anak seni giat menghasilkan karya dengan medium itu adalah permulaan berkesan bagi mereka mengembangkan bakat seni masing-masing.

"Sebenarnya kerajaan bukan kena pinda akta itu (Akta 244 Finas) sahaja, sebaliknya kena teliti juga banyak akta lama lain berkaitan.

"Bagi saya, kalau kandungan video dan media sosial berbentuk berita dan informasi untuk paparan rakyat, mungkin ia perlu dikenakan lesen kerana mereka perlu dipantau bagi memastikan berita disebarkan adalah benar," katanya.

Afdlin turut berpandangan pembentukan jawatankuasa khas daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi membincangkan cadangan pindaan Akta 244 Finas kelak juga perlu melibatkan komuniti muda yang benar-benar bergelumang dengan sosial media dan mendapat manfaat kewangan daripadanya.