Laungan azan pertama berkumandang di Hagia Sophia

Iklan
Muslim di Turki menunaikan solat Jumaat di Hagia Sophia buat pertama kali selepas 86 tahun menjadi muzium. - Foto Agensi

ISTANBUL - Selepas 86 tahun menjadi muzium, Hagia Sophia di Istanbul yang menjadi topik perdebatan hangat sejak beberapa minggu lalu kembali melaungkan azan dan mengadakan solat Jumaat buat pertama kali hari ini.

Bagi orang Islam di Turki, keputusan mengubah status ikonik bersejarah yang dibina oleh Empayar Byzantine pada abad keenam itu adalah untuk mengembalikan semula simbol keagungan Empayar Turki Uthmaniyyah di bawah pemerintahan Sultan Mehmed II yang menukar Hagia Sophia sebagai masjid selepas penaklukan Constantinople pada 1453.

Iklan
Iklan

Pemerintah Turki turut menjemput beberapa pemimpin asing termasuk dari Azerbaijan dan Qatar untuk menghadiri solat Jumaat pertama yang menandakan pembukaan semula Hagia Sophia selepas statusnya sebagai muzium dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi di Ankara pada 10 Julai lalu.

Erdogan (tengah) bersama pemimpin parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang menghadiri solat Jumaat pertama hari ini. - Foto Agensi

Sejak awal minggu lalu, pelbagai persiapan telah dilakukan untuk memberi ruang kepada kira-kira 1,000 hingga 1,500 jemaah yang akan menyertai solat Jumaat tersebut mengikut peraturan ditetapkan termasuk pemakaian pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan sejadah yang akan diagihkan oleh pihak masjid.

Iklan

Difahamkan, hanya 500 jemaah dibenarkan berada di dalam masjid itu ketika solat Jumaat tersebut yang turut disertai Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Pada akhir minggu lalu, Erdogan turut mengadakan lawatan mengejut ke Hagia Sophia untuk melihat kerja pengubahsuaian yang dilakukan untuk menjadikannya sebagai masjid semula.

Iklan
Kerja pengubahsuaian sedang giat dilakukan di ruang dalam Hagia Sophia sejak beberapa minggu lalu. - Foto Agensi

Bagi menjaga sensitiviti Muslim, jubin dan lukisan pada dinding yang memaparkan imej tokoh Kristian akan ditutup dengan tirai ketika waktu solat.

Mekanisme tirai itu adalah sama seperti yang digunakan dalam industri perfileman manakala jubin omphalion opus sectile akan dilindungi dengan permaidani yang dibentangkan ketika waktu solat.

Ia menggunakan dua lapisan fabrik tebal diperbuat daripada bulu kambing biri-biri bagi mengelakkan jubin tersebut mengalami sebarang kerosakan.

Permaidani memaparkan motif ketika era pemerintahan Turki Uthmaniyyah pada abad ke-17 itu dihasilkan di wilayah Manisa.

"Permaidani tersebut menggunakan 100 peratus bulu buatan tempatan dan mempunyai ciri khusus seperti menghadap ke arah kiblat dengan menggunakan sistem kuasa wap.

Beberapa pekerja membentangkan permaidani menjelang persiapan akhir untuk pembukaan semula Hagia Sophia sebagai masjid. - Foto Agensi

"Kawasan permaidani itu adalah kira-kira 4,000 meter persegi dan 2,000 meter akan dibentangkan pada hari pembukaan Hagia Sophia.

"Selebihnya akan ditempatkan sejurus kerja pengubahsuaian selesai yang dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan,” kata Pengerusi Lembaga syarikat yang menghasilkan permaidani itu, Ali Riza Ozkul. - Agensi