BERMULA Ahad ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mempunyai masa selama 100 hari lagi untuk cuba menyelamatkan jawatannya.
Ini kerana rakyat AS akan mengundi dalam pilihan raya presiden pada bulan November ini.
Trump yang akan bertanding semula dalam pilihan raya tersebut sebagai calon parti Republikan kini berdepan dengan pelbagai isu antaranya ialah pandemik koronavirus (Covid-19).
Pandemik itu setakat ini telah menyebabkan lebih 140,000 rakyat negara itu sudah meninggal dunia sekali gus menjejaskan keyakinan orang awam terhadap institusi kerajaan.
Ia juga menyebabkan ramai rakyat AS terpaksa menganggur.
Kongres AS pada April lalu diberitahu bahawa jumlah pengangguran di negara tersebut sudah melebihi 26.4 juta orang.
Justeru, menurut portal berita CNN, majoriti rakyat AS percaya bahawa beliau gagal dalam menangani pandemik tersebut iaitu cabaran terbesar negara itu.
Sebelum ini pula, terdapat beberapa presiden AS pada masa lalu yang gagal untuk berkhidmat selama dua penggal antaranya ialah William Howard Taft, Herbert Hoover, Jimmy Carter dan George H.W. Bush.
Kesemuanya kalah besar dalam pilihan raya presiden AS.
Mereka dianggap oleh pengundi sebagai gagal menangani cabaran terbesar yang dihadapi oleh AS sepanjang mentadbir negara tersebut.
Bagaimanapun, calon presiden daripada parti Demokrat, Joe Biden kini mendahului Trump dalam beberapa tinjauan pendapat.
Menurut portal berita Politico, Biden yang merupakan naib presiden AS ketika Barack Obama menjadi presiden dilaporkan meninggalkan Trump dengan 13 mata dalam satu tinjauan pendapat di Florida pada Khamis lalu.
Tinjauan pendapat yang dilakukan Universiti Quinnipiac itu menunjukkan Biden memperoleh sokongan pengundi berdaftar sebanyak 51 peratus manakala Trump hanya 38 peratus.
Ia merupakan petanda bahawa presiden AS itu terbelakang dalam menangani isu-isu mengenai Covid-19.
Beberapa tinjauan pendapat lain menunjukkan Biden mengatasi Trump menjelang pilihan raya presiden AS.
Namun, secara faktanya, situasi tersebut menunjukkan adalah sukar untuk presiden AS itu mendekatkan jarak mata dengan bekas naib presiden negara berkenaan dalam tinjauan-tinjauan pendapat.
Satu lagi tinjauan pendapat oleh ABC bersama akhbar Washington Post menunjukkan 38 peratus rakyat AS bersetuju dengan cara presiden AS itu mengendalikan pandemik Covid-19.
Peratusan pada 15 Julai lalu itu merosot berbanding pada bulan Mei lalu apabila Trump mendapat sokongan sebanyak 46 peratus berhubung tindak balasnya terhadap pandemik tersebut.
Trump yang membuat kejutan apabila memenangi pilihan raya presiden AS pada November 2016 dengan slogan 'Jadikan Amerika Hebat Sekali lagi' apabila menewaskan Hillary Clinton iaitu bekas Setiausaha Negara dan isteri kepada bekas presiden AS, Bill Clinton.
Beliau juga berjaya mengalahkan semua tokoh parti Republikan untuk menjadi calon presiden AS pada tahun 2016 sebelum mengatasi Hillary sekali gus menjadi pemimpin negara tersebut.
Biden yang kini berusia 77 tahun dianggap oleh presiden AS itu sebagai seorang yang lemah, suka tidur dan tidak cekap.
Bagaimanapun, Trump yang berumur 74 tahun turut berdepan dengan isu perkauman dan seksisme dalam pilihan raya presiden.
Beliau juga berhadapan dengan isu perdagangan dengan China, malah Hong Kong dan isu hak asasi manusia melibatkan Beijing.
Namun, dua calon presiden itu mempunyai latar belakang yang tersendiri.
Presiden AS itu merupakan seorang bilionair dan Biden pula pernah berkhidmat sebagai senator selama tiga dekad dan naib presiden negara tersebut selama dua penggal selain merupakan seorang ahli politik yang unggul.
Bagaimanapun, Trump percaya beliau masih mempunyai rahsia untuk mencipta kejayaan bagi mengekalkan jawatan sekali lagi.
"Saya tidak kalah kerana semua itu adalah tinjauan pendapat palsu," katanya kepada berita Fox News pada minggu lalu.
Pada Khamis lalu, Trump membatalkan konvensyen parti Republikan yang dijadualkan diadakan di Florida pada bulan depan disebabkan bimbang dengan pandemik Covid-19.
Sementara itu, ketika ditanya Fox News sama ada beliau akan menerima keputusan pilihan raya presiden AS pada 3 November nanti, Trump berkata:"Saya perlu melihatnya." - Agensi