KALAU ikut sentimen memang patut kita tukar semua nama yang dianggap ‘asing’ di Malaysia.
Tapi Awang nak ingatkan juga, kita ada sejarah, ada masanya kita dalam pemerintahan orang asing. Kita dijajah. Macam nama Bukit St Paul di Melaka. Tak kiralah kalau dulu asalnya Bukit Melaka. Tapi sejak 500 tahun dah dikenal dengan nama Bukit St Paul.
Bagi Awang biarlah kekal nama itu sebagai peringatan bahawa kita pernah dijajah dulu. Lagipun tak ada salahnya dikekalkan nama bukit yang jadi tarikan pengunjung itu.
Awang pun nak tahu, apakah dengan tukar nama bukit itu kita akan jadi lebih patriotik?
Kadang-kadang kita bangkitkan isu seperti itu tanpa sebab yang jelas.
Pihak Perbadanan Muzium Negeri Melaka patut lebih prihatin mengenai sejarah Melaka. Jangan nanti atas dasar patriotisme yang sempit, kita buang semua nama yang kita anggap ada unsur penjajahan.
Salah satu aspek sejarah Melaka ialah orang Portugis dan Belanda yang pernah menjajahnya. Itu yang buat Melaka unik. Banyak binaan lama yang ditinggalkan oleh kedua-dua penjajah itu.
Kita tak boleh hakis yang itu. Begitu juga sejarah kaum-kaum lain di Melaka macam keturunan Baba dan Nyonya.
Awang percaya hal itu akan dibincangkan dengan penuh emosi.
Ada pula sentimen kaum yang akan masuk. Makin teganglah suasana akhirnya.
Banyak lagi perkara yang patut kita utamakan pada masa ini.