Nilai sejarah perlu dipertimbangkan

Iklan
Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong

SHAH ALAM - Cadangan mengembalikan semula nama Bukit St Paul kepada nama asalnya iaitu Bukit Melaka perlu dipertimbangkan dalam konteks nilai sejarah.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, selain daripada kepentingan nilai sejarah, ia juga mestilah jauh lebih baik daripada nama sedia ada.

Iklan
Iklan

"Bagi saya, kita boleh jika hendak kembalikan semula nama asal sesuatu tempat bersejarah itu tetapi pewajarannya juga perlu diambil kira.

"Sekiranya pewajarannya longgar, maka tiada sebab dan makna untuk kita tukar nama itu dan dalam isu Bukit St Paul pastinya kita perlu kemukakan fakta sejarah yang jauh lebih baik dalam mengembalikan semula nama Bukit Melaka itu,” katanya di sini semalam.

Iklan

Beliau mengulas usaha Perbadanan Muzium Negeri Melaka (Perzim) untuk mengembalikan nama Bukit Melaka yang perlu dilihat dalam konteks semangat patriotisme.

Bagaimanapun, cadangan penukaran nama tempat tarikan pelancong yang bersejarah itu menerima bantahan daripada parti politik seperti MCA dan individu tertentu.

Iklan

Seorang tokoh sejarah meminta kerajaan negeri Melaka bertegas dalam mengembalikan semula nama Bukit Melaka yang ditukar menjadi Bukit St Paul kira-kira 500 tahun lalu oleh penjajah Barat.

Bukit St Paul

Bagaimanapun, Pensyarah Sejarah Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali menyifatkan cadangan Perzim itu adalah satu usaha yang wajar.

Katanya, sememangnya Bukit Melaka adalah nama asal tetapi selepas Portugis menakluki Melaka pada tahun 1511, nama itu ditukar kepada Bukit St Paul.

"Mungkin penerimaan di peringkat antarabangsa agak sukar, namun lama-kelamaan nama itu akan menjadi sinonim,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pakar sejarah, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam turut melahirkan pendapat sama berdasarkan fakta sejarah Bukit Melaka sebelum kedatangan Portugis.

"Bagi saya, sekiranya nama Bukit Melaka dikembalikan ia akan menjadi kenangan abadi bagi kita dan saya sokong usaha Perzim.

"Malah, warisan itu bukan setakat bangunan sahaja tetapi sejarahnya yang tersendiri,” kata beliau.