SHAH ALAM - Persatuan Linguistik Malaysia menasihatkan ahli Parlimen supaya menghormati dan menggunakan bahasa Melayu semasa berada dalam Sidang Dewan Rakyat.
Timbalan Presidennya, Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, sekiranya ahli Parlimen mahu menggunakan perkataan bahasa Inggeris ketika berbahas, perlu mendapat izin daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat terlebih dahulu.
"Jika Yang Dipertua Sidang Dewan memberi keizinan, maka barulah ahli Parlimen berkenaan meneruskan ucapan dalam bahasa Inggeris.
"Jika sebaliknya, ahli Parlimen itu perlu menghormati dengan tidak berucap walau sepatah pun dalam bahasa Inggeris," katanya.
Menurutnya, terdapat juga ahli Parlimen yang tidak fasih berbahasa Melayu atau fikirannya berserabut kerana bahasa digunakan bercampur baur antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
"Atau mungkin mereka gemar berbahasa Inggeris, dan yang paling teruk tidak suka berbahasa Melayu walaupun itulah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini," katanya.
Kamal Shukri berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya juga perlu tegas dengan mengingatkan semua ahli Parlimen agar menghormati dan menggunakan bahasa kebangsaan di samping berusaha menjadi contoh yang terbaik dalam kalangan mereka.
"Dalam amalan sekarang, ahli Parlimen hanya bercakap 'dengan izin' dan terus berucap. Sedangkan mereka perlu menunggu jawapan Yang Dipertua iaitu 'saya izinkan'.
"Sepatutnya Yang Dipertua perlu menghentikan ucapan tersebut. Inilah yang seharusnya diamalkan dalam Dewan Rakyat yang mulia ini," katanya.