MELAKA TENGAH - Tindakan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) mengusulkan cadangan menukarkan nama Bukit St Paul bukan bertujuan memesongkan fakta sejarah, sebaliknya mengembalikan fakta sebenar yang tidak boleh ditipu.
Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (INSWA), Nurman Mohd Baroldin berkata, nama Bukit Melaka wajar dikembalikan kepada pemilik asal dan tidak seharusnya menjadi isu politik oleh pihak tertentu sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, Perzim merupakan badan yang mempunyai kuasa dalam bidang sejarah.
Sehubungan itu katanya, usaha untuk mengembalikan nama sebenar perlu dihormati memandangkan ia satu cadangan yang positif tanpa mengaitkan mana-mana agama mahupun bangsa.
"Siapalah MCA yang nak mempertikaikan usaha Perzim sedangkan apa yang dilakukan berdasarkan fakta sejarah. Tapi kalau ia dicampurkan emosi, keagamaan dan lain-lain yang akan mempengaruhi, mereka akan membantah.
"Seharusnya perkara ini dipandang secara positif. Apabila kita positif dan berpegang pada sejarah tanpa mengira kaum kita pasti bersetuju untuk kembalikan nama Bukit Melaka," katanya di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Bantah bukan mahu agungkan penjajah'
Nurman yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Melaka berkata, seorang penulis Portugis bernama Eredia pernah menulis mengenai 'Hill of Melaka' yang merujuk kepada Bukit Melaka.
Menurutnya, catatan itu sama ditulis dalam buku Sejarah Melayu atau dikenali sebagai Sulalatus Salatin.
Justeru, katanya, ia membuktikan nama Bukit Melaka memang sudah tertulis dalam catatan sejarah sejak beratus tahun dahulu.
Malah, katanya, situasi yang berlaku sekarang boleh dikaitkan dengan isu penukaran nama Jalan Jonker kepada Jalan Hang Jebat.
"Dahulu, masa nak tukar nama memang ramai marah, tapi nama itu tetap ditukar. Lihatlah sekarang walaupun namanya ditukar kepada Jalan Hang Jebat, orang masih memanggilnya sebagai Jonker Walk.
"Itu membuktikan pertukaran nama tidak langsung memberi kesan kerana pada akhirnya hanya nama yang ditukar, namun identitinya masih sama," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bukit St Paul: Tukar nama tidak akan ubah fakta
Melaka perlu tegas tukar nama Bukit St Paul