SABAK BERNAM - Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menerusi Program Ikhlas Bernas melancarkan Ikhlas Prihatin bagi membantu pesawah yang terkesan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Bernas, Rosniza Baharum berkata, pandemik Covid-19 memberi kesan terhadap pendapatan serta ekonomi sedunia dan antara sektor terkesan yang perlu diberi perhatian adalah pertanian.
Justeru katanya, sumbangan diberikan merupakan salah satu tanggungjawab sosial syarikat itu kepada masyarakat terutamanya pesawah.
"Pastinya antara yang terkesan adalah golongan barisan hadapan pertanian iaitu pesawah yang sentiasa bekerja keras bagi memastikan kelangsungan jaminan bekalan makanan ruji negara.
"Walaupun pelbagai usaha dilakukan pihak kerajaan dan agensi terlibat bagi membantu golongan ini namun masih ada segelintir pesawah yang berhadapan dengan kesukaran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas penyerahan sumbangan kepada seorang pesawah, Muhammad Jamil Dahlan, 54, di Kampung Sungai Leman Sekinchan di sini baru-baru ini.
Katanya, pihaknya menerima maklumat hasil tuai tanaman padi Muhammad Jamil menurun atas pelbagai faktor pada musim ini sekaligus menjejaskan pendapatannya.
"Kami berharap sumbangan berbentuk wang tunai dan barang keperluan diterima sedikit sebanyak dapat meringankan beban beliau.
"Ikhlas Bernas Prihatin akan meneruskan usahanya dalam membantu pesawah yang memerlukan ke negeri-negeri lain pula selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu Muhammad Jamil yang sudah mengusahakan sawah sepenuh masa sejak tahun 1985 bersyukur atas sumbangan diterima.
Menurutnya, wang sumbangan diterima akan digunakan bagi membaiki atap rumahnya yang sudah lama rosak.
"Saya bersyukur terima sumbangan ini. Sebagai pesawah saya sudah lama berurusan dengan Bernas terutamanya Kilang Beras Bernas di Sekinchan bagi mendapatkan khidmat nasihat dalam menghasilkan padi yang berkualiti,” katanya.
Untuk rekod, Bernas yang berperanan mengawasi perkembangan industri padi dan beras negara termasuk pengimportan beras, pengurusan dan pembayaran subsidi kepada pesawah, menguruskan Skim Pengilangan Padi Bumiputera, membeli padi daripada pesawah pada harga minimum terjamin serta bertindak sebagai pembeli terakhir padi daripada pesawah.