IPOH - Kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memantau secara dekat perkembangan pasangan YouTuber masakan sensasi, S Pavithra dan M Sugu.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, berdasarkan pertemuan sebelum ini, ibu kepada dua anak itu memaklumkan dia tidak memerlukan sebarang bimbingan atau sesi kaunseling.
"Kerajaan negeri melalui JKM telah mengadakan intervensi dan pertemuan awal dengan Pavithra ketika lawatan ke kediamannya di Sungai Siput pada 22 Julai lalu.
"Tujuan intervensi itu adalah bagi mengenal pasti bantuan dan sokongan yang mungkin diperlukan beliau ketika berdepan konflik masalah keluarga ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, berdasarkan sesi itu, Pavithra memberitahu keadaannya baik dan buat masa ini tidak memerlukan sebarang sesi kaunseling.
"Namun begitu JKM telah beri nombor telefon untuk dihubungi dan beliau akan menghubungi JKM kemudian untuk mendapatkan nasihat berkaitan pengurusan rumah tangga dan hubungan dengan suaminya," katanya.
Jun lalu, kerajaan Perak melalui Jabatan Pembangunan Wanita bercadang untuk mengangkat Pavithra sebagai Ikon Wanita dan Masakan Perak agar dapat dijadikan inspirasi kepada wanita lain atas kecekalannya membina kerjaya melalui minat dan kemahiran memasak dimiliki.
Pavithra, 28, dan suami, M Sugu, 29, sebelum ini mendapat pujian orang ramai kerana kesungguhan dan kerjasama mereka memperbaiki keadaan hidup melalui perkongsian video masakan mereka di YouTube.
Bagaimanapun sejak seminggu lalu timbul perselisihan faham antara pasangan ini hingga membawa kepada pertengkaran yang menyebabkan Sugu berdepan dakwaan mencederakan isterinya dan memiliki senjata berbahaya di tempat awam.