JITRA - Penduduk di Kampung Lubuk Batu di sini, risau akan keselamatan mereka yang makin terjejas akibat aktiviti kuari pasir darat yang beroperasi berdekatan kampung mereka.
Seorang penduduk, Shukri Md Janan, 51, berkata, kuari yang mula beroperasi kira-kira enam bulan lalu menyebabkan struktur rumahnya mendap dan retak di beberapa bahagian.
Katanya, rumahnya adalah antara yang paling dekat dengan sempadan tapak kuari iaitu sejauh 20 meter.
"Rumah saya makin hari makin mendap, sebab depa sedut pasir dari bawah tanah, antara 30-40 kaki ke dasar bumi.
"Secara tidak langsung pergerakan tanah berlaku dan kami rasa risau dan terancam," katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, penduduk kampung membuat beberapa laporan kepada pihak berwajib, namun tiada tindakan diambil.
"Saya sangat berharap keadaan ini tidak berlarutan kerana kami sangat risau dengan keselamatan kami, ini baru enam bulan, setahun, dua tahun nanti macam mana pula?," katanya.
Kerisauan yang sama turut diluahkan oleh Romlah Hassan, 71, yang turut mengalami keretakan di bahagian belakang rumahnya.
"Kita tidur malam-malam pun tak lena, takut jadi apa-apa,sebelum ni tak ada la macam ni," katanya.
Tambahnya,selain keretakan rumah, mereka juga dibelenggu masalah habuk terutama pada musim kering seperti sekarang ini.
"Dalam dan luar rumah penuh habuk sampaikan jemur baju pun lekat habuk, tak selesa juga hari-hari macam ni," katanya.
Bagi Roziah Ramdan, 55, projek kuari ini juga menyebabkan masalah banjir di kawasan kampung mereka bertambah buruk.
"Masa banjir bulan September lalu, air naik terlalu cepat sebelum ini kalau hujan naik juga air, tapi tak la secepat itu.
"Dulu kawasan tu kebun getah, jadi ada juga halangan, sekarang bila dah ditebus guna, dikorek, tebing-tebing semua runtuh bila hujan," katanya.
Selain itu, tambahnya kawasan kuari berkenaan juga mengundang bahaya kepada kanak-kanak di kampung tersebut.
"Kita takut ada yang pi bermain atau mandi di situ sebab lokasi dia dekat sangat dengan rumah penduduk kat sini.
"Kami memang risau dengan kesan kuari ni. Harap sangat pihak berwajib ambil tindakan dan kalau boleh hentikan terus projek kuari ni," katanya.
Sementara itu, ahli jawatankuasa kampung berkenaan, Shahrudin Taib berkata, kuari terbabit mula beroperasi sejak setahun lalu di atas tanah bergeran.
"Ia bukan kuari haram. Berkaitan masalah penduduk di sini, saya tidak pula dapat aduan.
"Kalau mereka ada masalah, boleh merujuk kepada saya, atau buat aduan ke pejabat kuari berkenaan," katanya.