PUTRAJAYA - Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diminta memberi kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sekali lagi, esok.
Guan Eng diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 11 pagi bagi membantu siasatan kes terowong dasar laut, Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.
Guan Eng dan peguamnya, RSN Rayer dilihat meninggalkan SPRM pada jam 7.50 malam ini dengan menaiki kereta jenis Mercedes-Benz selepas tujuh jam memberi keterangan.
ARTIKEL BERKAITAN: Terowong dasar laut: Guan Eng hadir beri keterangan kepada SPRM
Guan Eng tinggalkan SPRM selepas enam jam
Guan Eng sekali lagi hadir di SPRM
Terdahulu, Guan Eng ditemani Rayer sepatutnya tiba pada jam 10 pagi, namun terlewat kerana tayar kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya pancit di Simpang Pulai, Perak ketika dalam perjalanan ke Putrajaya.
Beliau muncul pada jam 12.40 tengah hari menaiki Peugeot sedan setelah kereta pertama dinaikinya mengalami masalah.
Rabu lalu, beliau dipanggil SPRM buat kali pertama untuk membantu siasatan kes isu terowong berkenaaan.
Pada 30 Jun lalu, SPRM menahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan dakwaan elemen rasuah dalam projek terowong tersebut.
SPRM turut memanggil beberapa lagi saksi untuk direkod percakapannya.