KOTA KINABALU -"Rakyat Sabah rindukan UMNO, BN (Barisan Nasional)."
Demikian kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dimuat naik dalam laman Facebook beliau ketika mengadakan lawatan kerja di Kota Kinabalu hari ini.
Menerusi laman Facebook beliau itu, Ahmad Zahidi yang ditemani Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut berkongsi foto pertemuan mereka dengan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama barisan ketua UMNO bahagian di Sabah.
"UMNO Sabah terus diperkukuhkan. Terima kasih ketua UMNO bahagian-bahagian Sabah yang bersama saya malam ini," katanya melalui hantaran dalam laman Facebook malam ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Shafie Apdal nafi kerajaan Sabah kini goyah
Lawatan kerja Ahmad Zahid ke Sabah itu turut meniup spekulasi kencang bahawa kerajaan negeri diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) dijangka tumbang dalam masa terdekat.
Krisis pergolakan kerajaan Warisan Sabah sememangnya menjadi isu panas sejak kebelakangan ini.
Ini susulan terdapat dakwaan kem bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman sedang berusaha memujuk ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Warisan dan DAP untuk menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Sabah.
Mereka difahamkan turut ditawarkan ganjaran wang tunai sehingga RM27 juta setiap seorang dengan tambahan RM5 juta bagi wakil rakyat berjawatan Pembantu Menteri.
Untuk rekod, di Sabah tiga laporan polis telah dibuat iaitu melalui ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang; ADUN Elopura, Calvin Chong dan ADUN Moyog, Jenifer Lasimbang selepas mereka turut dikunjungi oleh seorang ejen politik bagi menawarkan habuan melompat parti.
Sinar Harian melaporkan kenyataan Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua yang menyifatkan gerakan terbaharu pihak tertentu untuk meruntuhkan kerajaan Warisan Sabah buat kali kedua adalah satu tindakan politik terdesak yang memalukan.
Bagaimanapun, dakwaan Loretto dan beberapa pemimpin Warisan lain disangkal Bung Moktar dan Ketua UMNO bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.
Mohamad ketika sesi perbahasan di Parlimen menegaskan situasi politik terkini di Sabah menunjukkan kerajaan Warisan Sabah tidak kukuh dan goyah.
Bung Moktar dalam satu kenyataan menyifatkan tindakan menyakinkan wakil rakyat parti lain untuk menyokong parti mereka adalah tidak salah.