Sastera bukan milik 'dewa-dewa'

Iklan

RANAH sastera nusantara dilitupi kerudung duka dengan kehilangan dua tokoh besar kesusasteraan. Hujan Juni menangis, 16 Jun kita meratapi pemergian Sasterawan Perak dan karyawan besar negara, Malim Ghozali PK dan setelah sebulan pada 19 Julai, Maestro Sastera Indonesia, Profesor Doktor Sapardi Djoko Damono pula pulang ke rahmatullah.

Nama dua tokoh ini cukup harum bukan sahaja di ranah Nusantara malahan mendunia.

Iklan
Iklan

Mungkin berbetulan, ketika pemergian Sapardi Djoko Damono yang ditangisi rata-rata khalayak sastera sedang berlangsung pula acara Baca Puisi Dunia: Suaramu ke Riba Alam yang dianjurkan Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik dengan kerjasama Persatuan Penyair Malaysia.

Muat naik hantaran di Facebook peribadi, Kurnia Effendi, penyair dan kolumnis Majalah Sastera Indonesia (Majas) telah menuliskan bahawa beliau menulis dan membacakan puisi"Hujan Masih Merayakan Juni” untuk turut sama menyertai acara sastera dunia ini yang bertemakan 'Suaramu ke Riba Alam'.

Iklan

Menurut beliau, suaramu ke riba alam ditafsirkan dengan bebas sama ada hujan, awan, langit mahupun hutan yang merupakan sebahagian alam. Menghantarkan Pak Sapardi melalui pembacaan puisinya dari alam fana ke alam kekal juga merupakan proses alamiah kehidupan.

Terdapat tanggapan yang mengatakan sastera sudah mulai mati. Saya terfikir juga dari aspek manakah ‘kematian’ ini berlaku. Mungkin ada kebenarannya jika istilah ‘kematian’ itu dihalusi secara rinci dari sudut multitafsir.

Iklan

Polemik kematian sastera ini seolah-olah menisankan sastera di kuburan sedangkan sastera masih lagi bernafas dan bernyawa.

elbagai aktiviti kesusasteraan masih lagi giat berlangsung, begitu juga dengan kegiatan pembukuan yang masih rancak meskipun diterjemahkan dalam kaedah yang berbeza untuk disesuaikan dengan era pengarangan digital.

Acara Baca Puisi Dunia: Suaramu ke Riba Alam telah menggamit penyertaan seramai 870 peserta dari tiga belas buah negara dunia dalam acara yang dijalankan selama dua belas jam bermula jam 10 pagi hingga 10 malam pada 19 Julai 2020 mengikut waktu negara masing-masing.

Jumlah penyertaan yang agak ramai berbanding acara-acara sebelum ini jelas menunjukkan isyarat bahawa sastera masih lagi belum terkubur dan masih mempunyai kelompok penggiat dan peminat dari pelbagai lapisan rakyat tanpa mengira batas usia, bangsa dan agama.

Dalam Akhbar Suara Sarawak bertarikh 21 Julai 2020, dipaparkan artikel berjudul 'Dua Guru, 10 Pelajar Baca Puisi Dunia'. Apakah konotasinya apabila kita membaca paparan judul ini? Terdapat beberapa konotasi yang boleh kita terjemahkan daripada paparan ini.

Subur

Pertama, penglibatan guru dan murid ini menonjolkan bahawa sastera masih lagi bernafas dan disuburkan melalui peranan guru-guru di sekolah dan pensyarah-pensyarah universiti yang menyedari peri pentingnya sastera sebagai warisan budaya bangsa.

Kedua, acara-acara sebegini juga memberi ruang untuk mengembangkan potensi dan bakat sedia ada generasi pemula yang sekiranya tidak dicungkil akan menenggelamkan potensi sedia ada itu begitu sahaja.

Jika didalami dampak jangka panjangnya, bakat yang terkubur itu bukan sahaja menguburkan potensi diri insani tetapi juga menguburkan ruang penyebar luasan potensi perkembangan sastera negara yang seharusnya dipupuk ke dalam diri dan roh generasi pemula.

Menguburkan sastera persis membunuh jiwa dan kehidupan manusia. Mematikan sastera hanya meletakkan seolah-olah sastera itu milik kelompok ‘Dewa-Dewa’. Sedangkan sasteralah yang sentiasa menjadi harapan dan inspirasi pelbagai kelompok rakyat untuk meneruskan kelangsungan hidup. Sasteralah yang menjadi terapi dan penghibur diri kala negara dirundung walang membaham dunia.

Tepuk dada tanyalah jwa, pelbagai ruang dan peluang tersaji di hadapan mata.

Digital

Era pendigitalan menjadikan peluang berkarya hanya berada di hujung telunjuk, pelbagai aktiviti dan kegiatan kesusasteraan sentiasa sahaja diadakan apatah lagi negara kita dalam mod penganjuran Kuala Lumpur Ibu Kota Dunia 2020 (KLBWC 2020).

Layari sahaja laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Perpustakaan Negara Malaysia, saban waktu pelbagai aktiviti dan sayembara diiklankan untuk penyertaan khalayak.

Begitu juga dengan persatuan-persatuan seperti Persatuan Penulis Nasional (PENA), Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR), Badan Bahasa Sabah (BAHASA), Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dan puluhan kerabat kesusasteraan lain sering sahaja mengadakan aktiviti-aktiviti berkaitan.

Sebagai penulis pemula, akrabi sahaja rumah-rumah penerbitan yang agak aktif dan mesra khalayak seperti Nuha Books, Shahida Hassan Enterprise, Pena Padu, Jom Sastera dan banyak lagi. Ini tidak disebutkan lagi peranan-peranan yang dimainkan pemeran industri lain yang cukup banyak untuk disenaraikan.

Letakkan sahaja diri pada tempat dan kelompok sewajarnya. Sastera sememangnya akan ‘mati’ sekiranya persepsi khalayak terus menanggapi sastera hanya milik ‘dewa-dewa’ sedangkan realiti sebenarnya tidak sebegitu.

Aliran konvensional yang meletakkan penulis-penulis mapan dalam zon tersendiri juga sudah berubah, penulis-penulis kini kelihatan begitu mengakrabi media sosial yang secara

tidak langsung memberikan horizon terbuka untuk peminat dan khalayak mendekati mereka lebih dekat. Sastera perdana mahupun sastera popular, santuni sahaja aliran dan idealisme mana yang lebih memberikan ilmu dan kebaikan kepada diri untuk menjadikan membaca sebagai roh akademia bangsa pembaca.

Tanggungjawab menghidupkan sastera harus digalas pelbagai pihak dan entiti, dalam pelbagai kaedah dan cara. Sastera harus sentiasa dihidupkan waima kedukaan memamah jagat raya.

Kedukaan inilah yang menjadikan sastera terus mekar kerana seseorang penyair sememangnya hidup dari kedukaan. Kedukaan itulah yang menjadikan inspirasi untuk terus berkarya dan berparodi memperjuangkan maruah bangsa dan negara.

* Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia