Sempadan Malaysia-Singapura dibuka 17 Ogos ini

Iklan
Dari kanan Hasni, Hishammuddin dan Vivian melawat Tambak Johor selepas pertemuan berkenaan pembukaan sempadan di Bangunan Sultan Iskandar, hari ini.

JOHOR BAHRU - Sempadan Malaysia-Singapura dijadualkan dibuka untuk kategori pertama dan kedua pada 17 Ogos ini selepas mendapat persetujuan antara kedua-dua negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kebenaran rentas sempadan bersyarat itu adalah menerusi dua skim iaitu Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

Iklan
Iklan

"Rakyat Malaysia yang layak memohon di bawah kedua-dua skim tersebut boleh menghantar permohonan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bermula 10 Ogos ini.

"Kedua-dua negara merancang mengeluarkan garis panduan untuk makluman awam mengenai syarat-syarat dan cara-cara membuat permohonan di bawah kedua-dua skim ini dalam masa terdekat," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Iskandar, di sini hari ini.

Iklan

Terdahulu Hishammuddin, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan dan wakil kedua-dua negara mengadakan mesyuarat berkenaan RGL dan PCA untuk perbincangan pembukaan sempadan sebelum melawat Tambak Johor.

RGL akan membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi yang penting antara kedua-dua negara manakala PCA akan membolehkan penduduk yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan kerja di salah satu negara memasuki negara itu.

Iklan

Hishammuddin berkata, sebagai permulaan bagi kategori pertama seramai 400 orang dibenarkan dalam seminggu manakala kategori kedua seramai 2,000 orang sehari.

Jelasnya, prosedur operasi standard (SOP), syarat dan peraturan untuk kemasukan di kedua-dua negara sudah dimuktamadkan dalam pertemuan beliau dengan Dr Vivian dan perkara tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Ditanya mengenai risiko pembukaan sempadan, beliau berkata, kerajaan tidak boleh menunggu sehingga kedua-dua negara mencapai angka sifar kes koronavirus (Covid-19).

"Kita tidak boleh tunggu kerana rakyat kita yang bekerja di Singapura perlu bekerja selain kira-kira 20,000 rakyat Malaysia masih tidak balik ke Malaysia sejak empat bulan lalu," katanya.

Menurut beliau, sekiranya kategori pertama dan kategori kedua mematuhi disiplin dan semua SOP ditetapkan termasuk kes Covid-19 yang tidak tinggi, keputusan untuk membenarkan kategori ketiga dan keempat akan dipertimbangkan.

"Bagi skim ketiga dan keempat, kerajaan Malaysia dan Singapura masih perlu memperhalusi banyak perkara sebelum dilaksanakan. Ini kerana ia berkait rapat dengan soal keselamatan dan kesihatan memandangkan situasi Covid-19 masih belum reda, dalam erti kata lain ia memerlukan masa," katanya.

Tambahnya, keputusan membenarkan kategori ketiga dan keempat yang melibatkan kira-kira 250,000 amat kompleks selepas pertimbangan dibuat secara seimbang terhadap aspek kesihatan, keselamatan dan keperluan ekonomi.

Hishammuddin berkata, perkara tersebut memerlukan perancangan rapi kerana tidak mahu kerajaan membuat pusingan U selepas dilaksanakan nanti.