Calon PRK DUN Slim: PH masih bincang dengan Tun M

Iklan
Anwar ketika ditemui pemberita selepas Konvensyen Penerangan Keadilan hari ini.

AMPANG - Pakatan Harapan (PH) masih meneruskan rundingan bersama kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan pembangkang.

Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun kumpulan Dr Mahathir tidak berada dalam PH tetapi pihaknya tidak mahu mengambil tindakan tanpa berunding.

Iklan
Iklan

"Jadi kita berunding dahulu dan jawatankuasa PH telah berjumpa dengan mereka pada Khamis lalu.

"Kalau dia (kumpulan Dr Mahathir) mahu bertanding, kita perlu bawa perkara ini dalam Mesyuarat Presiden PH untuk membuat keputusan pada Selasa ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Penerangan Keadilan di sini hari ini.

Iklan

Sebelum ini bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya berkata, pihaknya akan bertanding pada PRK DUN Slim bagi menentang Perikatan Nasional (PN).

Beliau mendakwa, keputusan tersebut dibuat selepas seorang ahli Majlis Presiden PH menyatakan bahawa tidak akan bertanding pada PRK tersebut.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu Blackout tanding PRK DUN Slim

Ditanya bilakan tarikh bagi mengumumkan calon PRK DUN Slim, Anwar berkata, pihaknya akan mendapat laporan daripada jawatankuasa yang berunding Selasa ini.

"Calon sesuai yang mereka bangkitkan ada dalam senarai tapi belum diputuskan," katanya.

Malah ketika ditanya mengenai kesediaan menghadapi PRU mengejut, beliau optimis parti itu telah siap sedia.

"Walaupun keadaan semasa tidak sesuai untuk proses itu berlangsung disebabkan kebimbangan berlakunya gelombang kedua wabak Covid-19, namun ia tidak perlu menjadi alasan untuk PH tidak bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Semua jentera parti di seluruh negara sudah bersiap sedia walaupun kita mempunyai mandat selama tiga tahun lagi tetapi kita tidak akan mengambil sebarang risiko," katanya.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai siri perjumpaan seterusnya bersama Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal, Anwar berkata, pertemuan itu akan berterusan.

"Saya perlu berbincang dan mendengar pandangan beliau.

"Bagi kami itu adalah PH Plus. Shafie mempunyai mandat (di Sabah), kita akan terus menyokong," katanya.

Menjawab soalan berhubung kesediaan PH mengambil alih kerajaan Pusat daripada PN susulan penularan wabak Covid-19 yang memberi kesan besar kepada negara, beliau berkata, Malaysia memerlukan kerajaan kuat dan stabil.

"Bukan kerajaan seperti PN dan kerajaan yang jelas dasar ekonomi, bila diberi tumpuan, kita boleh lakukan program.

"Jika di Selangor, program berjalan dengan lebih meyakinkan. Begitu juga dengan pelabur," katanya.

Bagaimanapun, hari ini Timbalan Pengerusi PKR Perak, Datuk MA Tinagaran membuat kenyataan PKR negeri itu mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calon bertanding pada PRK itu pada 29 Ogos ini.

Tinagaran berkata, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira perkembangan semasa negara yang sedang berdepan pandemik koronavirus (Covid-19) dan beberapa situasi yang membebankan rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: PKR tak jadi letak calon di DUN Slim