KUALA LUMPUR - Seramai 500,000 penduduk di negara ini berjaya menjalani soal selidik secara dalam talian bagi Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) fasa satu melalui sistem e-Census.
Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah itu masih sedikit berbanding sasaran untuk 30 peratus daripada 32.6 juta penduduk menggunakan e-Census.
Menurutnya, sekiranya lebih ramai yang terlibat dalam tempoh bancian melalui e-Census sehingga 30 September ini, ia dapat mengurangkan keperluan bancian rumah ke rumah yang bakal dilaksanakan bagi fasa dua pada Oktober nanti.
"Kemungkinan kita akan menghadapi cabaran pada masa depan disebabkan wabak koronavirus (Covid-19) yang kita tidak dapat jangka.
"Jadi dengan gerak kerja yang dimulakan secara dalam talian untuk bancian 32.6 juta penduduk. Ini diharapkan dapat mengurangkan gerak kerja fasa dua bermula 7 hingga 24 Oktober depan," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Kongres, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di sini hari ini.
Beliau berkata, sebanyak sembilan juta penempatan isi rumah perlu dibanci melibatkan 100,000 pembanci dan 11,000 penyelia.
Katanya, usaha gerak kerja melalui e-Census secara tidak langsung menjadi usaha mengelakkan penularan wabak Covid-19.
"Kerana itu hari ini kita bersama Cuepacs sebagai usaha menggalakkan 1.6 juta penjawat awam untuk terlibat secara langsung untuk fasa satu ini.
"Daripada jumlah keseluruhan penjawat awam, ia boleh ditingkatkan kepada kira-kira lima juta penduduk terdiri daripada isi rumah mereka termasuk saudara mara mereka untuk turut sama terlibat menggunakan e-Census," katanya.
Katanya, Malaysia bertuah kerana bersedia melaksanakan bancian menggunakan teknologi berbanding puluhan negara lain yang sepatutnya melaksanakan bancian pada tahun ini, tidak dapat meneruskannya.
"Asalnya ada 75 negara di dunia laksanakan banci tahun ini namun disebabkan Covid-19 mereka tidak dapat jalankan malah banyak negara yang tidak bersedia kerana tidak ada sistem digital," katanya.