SHAH ALAM - Meskipun perkembangan terkini kes koronavirus (Covid-19) mencatatkan peningkatan dan pengumuman kerajaan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP) yang akan diperketatkan semula, orang ramai nampaknya semakin tenang dan tidak melakukan sebarang pembelian panik.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa buah pasar raya di Shah Alam mendapati, rata-rata orang ramai membeli barangan keperluan dengan kuantiti biasa serta tidak menunjukkan reaksi seperti pembelian panik.
Seorang pengunjung, Zuhdi Baharom, 32, berkata, buat masa ini tidak ada keperluan untuk membeli barangan keperluan asas melebihi keperluan sedia ada.
"Saya beli ikut kuantiti biasa saja seperti sebelum ini. Saya tidak membeli banyak barang sebaliknya cuma beli barangan keperluan sahaja seperti beras, ayam mentah dan barangan kering.
ARTIKEL BERKAITAN: SOP PKPP diketatkan semula: Ismail Sabri
PKP semula jika kes baharu Covid-19 cecah tiga angka
"Cuma seperti biasa saya beli barangan dengan kuantiti yang mencukupi untuk sebulan. Sememangnya setiap kali terima gaji, saya akan membeli barangan dengan kuantiti begini (cukup sebulan). Lain kali, tidak perlu lagi ulang alik ke kedai untuk memberi barang," katanya kepada Sinar Harian.
Seorang lagi pengunjung, Abdul Halim Yusuff, 42, berkata, pada awalnya dia risau berikutan terbaca kiriman mesej di laman sosial mengenai pembelian panik.
"Semalam saya ada lihat satu gambar di laman sosial yang memaparkan orang ramai beratur di kaunter bayaran. Saya sangka orang datang beramai-ramai ke pasar raya hari ini untuk membeli barangan. Namun sebaliknya, keadaan macam biasa saja.
"Kadangkala maklumat dalam laman sosial ini kita kena selidik dahulu. Contoh gambar orang ramai tetapi bila kita fikir balik, itu biasa memandangkan hujung bulan ini memang ramai orang beli belah, bukan sebab pembelian panik," katanya.
Sementara itu, seorang peniaga runcit, Kamal Mohamad, 58, berkata, buat masa tiada pembelian panik berlaku di kedai runcit miliknya.
"Setakat ini pelanggan datang membeli dalam kuantiti yang minimum, tak ada yang beli banyak-banyak.
"Pada saya tak perlu pembelian panik sebab sekarang kerajaan belum umumkan apa-apa lagi. Andai ada PKP sekalipun bagi saya, tak perlu nak buat pembelian panik, memadai membeli mengikut keperluan sahaja," katanya.
Terdahulu, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasakan semula PKP sekiranya kes positif Covid-19 dalam negara mencecah tiga angka.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negara merekodkan trend peningkatan kes dua angka berturut-turut sejak empat hari lalu.
Menurut beliau, laporan oleh Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa peningkatan itu berikutan kealpaan diri serta pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) hingga menyebabkan kes merebak semula.