Tak sempat 'berjoli' hasil rompakan

Iklan
Baharudin (dua dari kiri) menunjukkan wang tunai dan barangan yang berjaya dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun hari ini.

DUNGUN - Dua sahabat tidak sempat 'berjoli' dengan wang tunai dan barangan yang dirompak dianggarkan bernilai RM123,000 apabila ditahan polis tidak sampai 24 jam pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, kedua-dua suspek yang berusia 29 dan 40 tahun itu ditahan di sekitar Kerteh dan Kijal di Kemaman.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum ditahan, salah seorang suspek dipercayai telah memecah masuk rumah mangsa yang juga seorang wanita berusia 56 tahun di Paka kira-kira jam 3.30 petang.

"Mangsa bersendirian di rumah ketika kejadian dan suspek bertindak mengugut mangsa untuk membuka peti besi dan menyerahkan wang tunai dan barangan bernilai.

Iklan

"Mangsa yang ketakutan membuka peti besi sebelum menyerahkan wang tunai dan barangan kemas serta beg berjenama yang dianggarkan bernilai RM123,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun hari ini.

Baharudin (dua dari kiri) menunjukkan wang tunai dan barangan yang berjaya dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun hari ini.

Jelas Baharudin, polis kemudiannya melancarkan gerakan memburu suspek sebaik laporan diterima dan turut mendapat bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman.

Iklan

Suspek pertama telah berjaya ditahan di Kerteh kira-kira jam 9 malam hari yang sama dan susulan tangkapan itu, polis telah menyerbu sebuah kilang papan di Kijal dan menahan suspek kedua kira-kira jam 12.30 tengah malam.

"Hasil tangkapan tersebut, kita berjaya menemui semula wang tunai RM7,000 dan pelbagai mata wang asing dianggarkan bernilai RM6,000 berserta barangan kemas dan beg. Kita turut merampas sebuah kereta yang dipercayai digunakan suspek.

"Kedua-dua suspek yang berasal dari Selangor dan Johor itu merupakan pesalah yang sedang menjalani perintah sekatan buang daerah atas kesalahan jenayah dan dadah.

"Hasil saringan awal urin turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine. Semakan juga mendapati kedua-dua suspek masing-masing memiliki 15 dan 16 rekod jenayah lampau dan narkotik," katanya.

Tambahnya, suspek kini direman selama enam hari sehingga 29 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak.