KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu kerajaan menunaikan lima perkara yang diumumkan kepada penjawat awam yang masih belum dilaksanakan.
Antaranya adalah kenaikan gaji berkuat kuasa 1 Julai 2018 dan pemendekan kenaikan pangkat 'time based' kali kedua yang dikurangkan dari 13 tahun kepada 10 tahun pula berkuat kuasa 1 Januari 2018.
Selain itu, pengumuman gaji tambahan kepada guru gred DG56 serta penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari boleh ditukar kepada wang tunai bagi yang sudah berkhidmat lebih daripada 15 tahun juga belum dilaksanakan.
Presidennya, Adnan Mat berkata, meskipun pengumuman itu dibuat ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH), kerajaan hari ini perlu melaksanakannya dengan melihat ia sebagai komitmen kekal kerajaan.
"Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan untuk melaksanakan kajian semula terhadap mana-mana perancangan termasuk GCR tidak boleh diterima penjawat awam.
ARTIKEL BERKAITAN - Kerajaan kaji semula dasar penebusan GCR
"Sebelum sesuatu itu diumumkan, perbincangan awal dan implikasinya sudah dikaji, jadi secara umumnya ia sudah dipersetujui dan dinyatakan kerajaan mampu melaksanakan pada waktu ia diumumkan.
"Kerajaan adalah majikan kepada penjawat awam, jadi seharusnya sebarang pengumuman perlulah dilaksanakan, bukannya dianggap sebagai satu keputusan politik," katanya pada Sidang Media selepas Mesyuarat Majlis Kongres, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di sini hari ini.
Adnan berkata, selain itu, Kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) tambahan sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana hanya memberi manfaat kepada penjawat awam Semenanjung.
Justeru pihaknya mencadangkan agar kenaikan tambahan tersebut diberikan untuk penjawat awam Sabah dan Sarawak.
"Cuepacs memohon agar kerajaan memberi tambahan RM50 kepada gred 41 ke atas dan juga kepada penjawat awam di Sabah dan Sarawak.
"Semua perkara yang diumumkan berada di peringkat kaedah pelaksanaan dan kajian juga sudah dilakukan. Jadi Cuepacs berharap kerajaan melihat perkara ini dengan lebih serius. Jika bukan semua, kerajaan tidak perlu meninggalkan semuanya," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai cadangan kerajaan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Adnan berkata, adalah menjadi perkara yang amat malang sekiranya PKP dilaksanakan semula.
"Cuepacs telah menasihatkan ahli-ahli supaya kekal disiplin menjaga SOP. Jika PKP dilaksanakan semula ramai akan terkesan khususnya golongan bawah B40," katanya.