Bela nasib pekerja hilang sumber pendapatan

Iklan
Gambar hiasan -Foto 123rf

MENURUT kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan pada Sabtu lalu, seramai 64,495 individu hilang pekerjaan sejak 1 Januari 2020 hingga 15 Julai lalu.

Saravanan berkata, statistik oleh Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu adalah lebih tinggi berbanding kira-kira 55,000 orang kehilangan kerja yang dinyatakan pelbagai agensi pekerjaan sebelum ini.

Iklan
Iklan

Daripada 64,495 individu yang hilang pekerjaan, hanya 6,928 individu sudah diambil bekerja oleh 2,240 majikan menerusi inisiatif kerajaan termasuklah melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (Penjana Kerjaya).

Jelas sekali jumlah individu yang kembali mendapat pekerjaan setelah kehilangan kerja adalah amat rendah berbanding dengan mereka yang telah kehilangan pekerjaan.

Iklan

Tambahan pula dengan situasi ekonomi negara dan dunia yang lemah, dengan cabaran pandemik Covid-19 yang belum berakhir, peluang untuk mendapat pekerjaan kini lebih mencabar berbanding tahun-tahun kebelakangan ini.

Di sesetengah kawasan, kita dapat lihat peningkatan mendadak penjaja warga tempatan yang menjual pelbagai jenis makanan, buah-buahan, pakaian terpakai hinggalah kepada ubat dan produk kosmetik.

Iklan

Walaupun perniagaan adalah cabang yang baik untuk pendapatan, namun rata-rata peniaga tersebut nampak terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas hilang sumber pendapatan di tempat bekerja masing-masing.

Ramai dalam kalangan mereka juga mempunyai banyak pengalaman dalam bidang masing-masing dan adalah satu kerugian kepakaran tersebut hilang begitu sahaja.

Oleh itu, kerajaan dengan majikan yang terlibat dalam program Penjana Kerjaya perlu memikirkan alternatif untuk meningkatkan jumlah pengambilan semula pekerja yang hilang pekerjaan.

Banyak sektor penting yang memerlukan tenaga kerja tambahan ketika dunia berhadapan cabaran pandemik kesihatan.

Inilah masa terbaik untuk memaksimumkan pengambilan tenaga kerja tempatan sekiranya diberi peluang dengan seluas-luasnya.