Keropok lekor Danga laris sampai Singapura

Iklan
Pekerja Lekor Danga Enterprise sedang membungkus keropok lekor di kilang yang terletak di Kampung Sungai Danga di Johor Bahru, Johor.

SEBUT saja keropok lekor, pasti terbayang keenakan makanan yang cukup popular di negeri pantai timur itu khususnya Terengganu.

Tidak hairanlah, keropok lekor menjadi pilihan buat pengusaha makanan di mana sahaja kerana permintaan tinggi terutamanya daripada pengusaha gerai dan warung.

Iklan
Iklan

Permintaan yang tinggi itu mendorong Shahril Azmi Jamil dari Kampung Sungai Danga, Johor Bahru, Johor mengusahakan keropok lekor secara komersial atas nama Lekor Danga Enterprise.

Usahawan berusia 36 tahun itu berkata, beliau berbangga kerana perniagaan berkenaan kini mampu mencapai pendapatan kasar tahunan mencecah RM1 juta ringgit melibatkan pasaran eksport ke Singapura.

Iklan

Katanya, perniagaan keropok lekor yang dimulakan sejak 13 tahun lalu oleh ayahnya, Jamil Darja, 61, itu kini diusahakan bersama lima adiknya iaitu Sahmil Ashrul, 34; Sairil Hizam, 33; Saiful Rizal, 31;Sarihan, 30, dan Muhamad Raffil Rizuwan, 29.

50 tan seminggu

Beliau berkata, hasil gabungan tenaga adik-beradik dengan bantuan pekerja seramai 30 orang, Lekor Danga Enterprise berjaya mengeluarkan 50 tan keropok lekor seminggu (50,000 pek dengan berat 1 kilogram setiap satu).

Iklan

Bagaimanapun, katanya, jumlah pengeluaran itu masih tidak belum memenuhi permintaan pelanggan terutamanya dari Singapura."Ikan tamban dan selayang bermutu tinggi dari Endau, Mersing, Johor digunakan sebagai bahan utama dalam pembuatan keropok lekor kami,” katanya Bisnes Sinar.

Selain keropok lekor, lekor Danga Enterprise turut mengeluarkan otak-otak gulung.

Namun, keropok lekor adalah produk paling popular keluaran syarikat berkenaan.Shahril Azmi mengakui, bukan mudah untuk berjaya dalam perniagaan produk makanan, lebih-lebih lagi apabila produk dikeluarkan masih baharu dan belum dikenali.

Itulah yang dihadapi ketika memulakan perniagaan keropok lekor pada tahun 2007.

Mereka berdepan dengan kesukaran untuk memasarkan keropok lekor dikeluarkan oleh Lekor Lekor Enterprise.

Katanya, beliau dan adik-adiknya mengambil masa tiga tahun untuk meneroka, memposisikan dan menjenamakan produk mereka di pasaran.

Tiada pengalaman

"Kami mulakan perniagaan ini secara kecil-kecilan selepas mengambil alihnya daripada ayah.

"Memang banyak kesusahan dilalui kerana kami semua memang tiada pengalaman dalam perniagaan,” katanya yang pernah bekerja sebagai tukang masak.

Dua produk keluaran Lekor Danga Enterprise iaitu keropok lekor dan otak-otak gulung.

Bagaimanapun, katanya, keberkesanan program penjenamaan yang dilakukan berjaya menarik ramai pelanggan, sekali gus meningkatkan jualan mereka.

"Pembungkusan pek keropok lekor yang baik dengan paparan nombor telefon dan alamat memudahkan orang ramai mendapatkan keropok lekor kami.

"Pengedar kemudiannya datang mendapatkan produk kami untuk diedarkan ke gerai, warung dan pasar raya di sekitar Johor Bahru,” katanya.

Shahril Azmi berkata, perkara paling tidak disangka apabila seorang pemborong dari Singapura datang membeli produknya pada 2010 untuk dijual di sana.

"Sehingga hari ini, peniaga itu masih datang mengambil stok keropok lekor daripada kami untuk diedarkan kepada peniaga-peniaga pasar malam di Singapura.

"Dianggarkan, setiap minggu jualan ke Singapura sahaja mencecah lima tan tapi masih tidak mencukupi kerana permintaan tinggi dari sana,” katanya.

Berkongsi wawasan untuk memajukan perniagaan Lekor Danga Enterprise, Shahril Azmi berkata, mereka merancang untuk meneroka pasaran Lembah Klang dengan membuka sebuah kilang di sempadan antara Muar dan Melaka.

"Pasaran Lembah Klang cukup menarik kerana kepadatan penduduknya amat tinggi, ia mampu menyumbang kepada permintaan tinggi terhadap produk makanan sejuk beku terutama keropok lekor,” katanya.