BANK Islam Malaysia Berhad menggalakkan pelanggan individu memanfaatkan platform Virtual Account Opening (VAO) bagi membolehkan mereka membuka akaun terpilih meliputi Akaun Simpanan Asas Bank Islam, Akaun Simpanan Qard dan Akaun Pelaburan Al-Awfar mengikut keselesaan tempat dan waktu masing-masing.
Penyelesaian berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi digital Bank Islam ke arah memperluaskan akses perbankan, menjimatkan kos dan mesra alam.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkata, VAO bertujuan untuk menambah manfaat dan nilai kepada pelanggan bank berkenaan, sekali gus membentuk industri perbankan masa hadapan.
Menurutnya, pengenalannya telah merevolusasikan prosedur pembukaan akaun tradisional yang memakan masa lama di cawangan.
Katanya, pelanggan hanya perlu mengisi e-borang yang boleh didapati di laman sesawang https://vao.bankislam.com.my/.
"Setelah maklumat lengkap dihantar, pelanggan hanya perlu hadir ke cawangan Bank Islam pilihan. Mereka tidak perlu beratur untuk melengkapkan proses pengesahan pembukaan akaun,” katanya semalam.
Beliau berkata, sejak diperkenalkan pada Februari 2018, pihaknya menerima purata hampir 2,000 pembukaan akaun melalui platform berkenaan pada setiap bulan.
Justeru, katanya, Bank Islam merancang untuk mengintegrasikan fungsi VAO ke dalam aplikasi mudah alih GO by Bank Islam dalam masa terdekat susulan permintaan yang tinggi.
"Bank Islam sentiasa peka terhadap keperluan pelanggan serta seiring dengan trend digital masa kini dan penting dalam mendepani Covid-19. Kami sentiasa berinovasi bagi menggiatkan inisiatif peka pelanggan, mewujudkan perkhidmatan perbankan yang lebih mudah, bijak dan fleksibel,” katanya.