MENURUT Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat peningkatan kes jangkitan Covid-19 di seluruh dunia sejak dua minggu terakhir, lantas ia menekankan bahawa langkah lebih ketat dan tindakan kawalan pada kadar segera harus diambil oleh setiap negara untuk kadar membendung jangkitan.
Mengambil kira peningkatan kes harian, bermula 1 Ogos, pemakaian pelitup muka akan diwajibkan di kawasan sesak seperti pengangkutan awam seperti bas dan LRT serta tempat tumpuan awam yang lain. Sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu ini, orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).
Sebelum ini, kerajaan tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka kerana mengambil kira golongan kurang berkemampuan disebabkan ia melibatkan kos tambahan yang dikhuatiri membebankan rakyat, khususnya golongan B40. Ini kerana pemakaian pelitup muka berbentuk pakai buang yang sebaiknya digunakan bagi tempoh tiga jam sahaja untuk setiap keping atau sekurang-kurangnya sehari sudah pasti meningkatkan kos pembeliannya dalam kalangan masyarakat.
Namun, kini WHO membenarkan pemakaian pelitup muka yang dijahit sendiri, maka kerajaan memutuskan mewajibkan pemakaiannya di kawasan tumpuan awam dan dalam pengangkutan awam. Dengan arahan terbaharu itu, orang ramai juga dibenarkan memakai topeng muka yang dijahit sendiri tetapi perlu mematuhi spesifikasi yang ditetapkan WHO. Rentetan itu, Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan spesifikasi untuk topeng muka buatan sendiri itu di media massa dan sosial.
Arahan tersebut bukan sesuatu yang ‘menyusahkan’ atau ‘menambah beban’ rakyat kerana arahan sedemikian bukan hanya dilaksanakan di Malaysia sahaja, bahkan kerajaan Britain turut mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka ketika berada dalam kedai dan pasar raya di England dan ia mandatori mulai 24 Julai. Mereka yang gagal mematuhi kewajipan memakai pelitup muka itu akan didenda hingga £100 (RM545).
Sepatutnya arahan pemakaian pelitup muka tersebut tidak menjadi masalah besar kepada rakyat Malaysia kerana sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, ia telah menjadi amalan atau kelaziman normal baharu selain amalan mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman dan penjarakan sosial. Positif
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, pelitup berfungsi menghentikan mereka yang positif daripada menjangkiti orang lain. Maka, pandanglah arahan itu dari sudut yang positif demi keselamatan semua.
Kerajaan tidak semberono mewajibkan sesuatu peraturan melainkan telah mengkaji dengan mendalam daripada segala aspek sebelum mewajibkannya kepada orang ramai.
Jangan menganggap amalan pemakaian pelitup muka ini sesuatu yang menyukarkan dan tidak perlu dipatuhi kerana kita berpotensi terdedah kepada jangkitan jika tidak memakainya.
Pelitup N95 serta pelitup pembedahan adalah yang paling berkesan dari segi mencegah penularan virus pernafasan tetapi ia tidak boleh diguna semula selain pernah menghadapi masalah kekurangan bekalan di seluruh dunia. Justeru, kerajaan bertoleransi dengan membenarkan pemakaian pelitup muka kain.
Dari sudut yang lain, kelonggaran yang diberi oleh kerajaan untuk orang ramai memakai pelitup muka kain dan tidak terlalu bergantung kepada pelitup muka standard perubatan, misalnya, berupaya memberi pendapatan sampingan kepada tukang jahit atau mana-mana individu yang boleh menghasilkannya.
Ternyata, denda RM1,000 bukan isu utama yang harus diperbesarkan kerana ia boleh dielakkan jika orang ramai patuh dalam menjalankan tanggungjawab sosial masing-masing selain mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh pihak berwajib.
* Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia