'Mobile Casino' taktik terbaru judi online

Iklan
Mazlan (depan) bergambar bersama ketua polis daerah dan ketua jabatan Kontinjen Selangor selepas selesai Majlis Amanat Khas Ketua Polis Selangor, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

SHAH ALAM - Trend terbaru perjudian online kini menggunakan alat peranti seperti telefon bimbit, tablet dan komputer riba untuk dijadikan sebagai 'mobile casino' dengan melayari website perjudian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, ini dapat dibuktikan melalui serbuan lapan pusat operasi perjudian (Counting Center) di Ampang Jaya dan Serdang sejak Oktober tahun lalu dengan rampasan sebanyak 48 buah komputer, 13 buah komputer riba dan 257 unit telefon bimbit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai 93 ahli sindiket telah ditangkap dan daripada jumlah tu, seramai 36 orang telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).

"Berdasarkan modus operandi mobile casino ini, kaki judi boleh bermain judi di mana-mana lokasi tanpa batasan waktu.

Iklan

"Duit kemenangan akan dimasukkan ke dalam akaun pemain. Modus operandi ini dilihat cuba mengalih pandangan kita dari sudut fizikal," katanya kepada pemberita selepas selesai Majlis Amanat Khas Ketua Polis Selangor, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, sepanjang tahun lalu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor telah berjaya melaksanakan 3,445 serbuan Ops Dadu Khas yang membawa kepada 5,965 orang tangkapan.

Iklan

Katanya, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 387 dikenakan tindakan Poca kerana didapati menjadi dalang dan bergiat aktif dalam kegiatan jenayah kongsi gelap, sindiket perjudian, pelacuran dan jenayah lain.

Dalam perkembangan lain, secara keseluruhannya jenayah indeks di Selangor tahun lalu merekodkan 21,426 kes berbanding tahun sebelumnya dengan 26,075 kes sekaligus menunjukkan penurunan sebanyak 17.83 peratus.

"Daripada jumlah kes yang dilaporkan tahun lepas, kita telah berjaya menyelesaikan sebanyak 12,295 kes (57.8 peratus)

"Bagi jenayah kekerasan, kita telah berjaya menyelesaikan 3,557 kes, manakala bagi jenayah harta benda pula sebanyak 8,738 kes," katanya.