BUTTERWORTH - Seorang lelaki maut dipercayai tertembak diri sendiri dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Seri Maklum, Seri Pinang pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian pada jam 5.30 pagi itu, mayat lelaki berusia 30 tahun tersebut ditemukan bapanya dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik air selain menjumpai sepucuk pistol di sebelahnya.
"Pada jam 3.30 pagi bapanya bangun untuk ke tandas dan dapati mangsa tiada di katilnya namun tidak mengesyaki apa-apa sebelum masuk semula ke bilik.
"Bagaimanapun ketika dia bangun untuk solat Subuh mendapati anaknya itu masih tiada di dalam biliknya sebelum bapanya pergi ke tandas kedua yang sering digunakan oleh mangsa dan menjumpai anaknya dalam keadaan terlentang berlumuran darah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pagi tadi.
Noorzainy berkata, bapanya terus menghubungi polis melaporkan kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan tembakan di bahagian sebelah kiri kepala mangsa.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa seorang duda dan tidak bekerja dan tinggal bersama ibu bapanya di rumah berkenaan.
"Hasil rakaman percakapan dengan ibu mangsa memaklumkan yang anaknya itu sebelum ini pernah mendapatkan rawatan pakar psikiatri di India pada 2017.
"Mangsa hanya dapatkan rawatan sekali sahaja dan tiada rawatan susulan," katanya.
Sementara itu, Noorzainy berkata, pihaknya masih lagi menyiasat dari mana mangsa mendapatkan pistol berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971/Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.