BEIJING - Bendera Amerika Syarikat (AS) diturunkan pada kedudukan yang rendah di Pejabat Konsul AS di Chengdu, China hari ini.
Ia berlaku beberapa hari selepas Beijing mengarahkan pejabat tersebut ditutup sebagai tindak balas penutupan Pejabat Konsul China di Houston, AS.
Imej-imej daripada kamera litar tertutup (CCTV) di luar pejabat tersebut menunjukkan bendera diturunkan perlahan-lahan pada awal pagi selepas ketegangan politik berlaku antara kedua-dua buah negara.
Hubungan kedua-dua buah negara merosot sejak beberapa minggu lalu seperti pada era Perang Dingin dengan misi diplomatik di Chengdu diarahkan ditutup sebagai tindak balas terhadap penutupan Pejabat Konsul China di Houston, Texas.
Tarikh akhir untuk kakitangan AS diarah keluar dari pejabat tersebut masih tidak jelas.
Bagaimanapun, Pejabat Konsul China di Houston diberikan masa selama 72 jam untuk ditutup selepas arahan rasmi dikeluarkan AS.
Pada Sabtu lalu, pemberita AFP menyaksikan lambang-lambang AS di depan pejabat itu dipindahkan.
Beberapa buah trak juga dilihat memasuki Pejabat Konsul AS itu dan para pekerja pembersihan mengangkut beg-beg hitam yang besar dari bangunan tersebut.
Menurut pegawai-pegawai Washington, terdapat percubaan yang dilakukan oleh Pejabat Konsul China di Houston untuk mencuri rahsia korporat AS. - AFP