TANAH MERAH - Empat pemuda disyaki geng pengedar dadah yang cuba melarikan diri dengan membuat pusingan U dalam satu serbuan khas di Manal di sini, akhirnya kecundang selepas berjaya ditahan polis Isnin lalu.
Kesemua suspek berusia antara 21 dan 22 tahun yang berasal dari Pasir Mas dan Tumpat ini disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, pada mulanya suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi memberhentikan kereta di tepi jalan kira-kira jam 2.15 pagi.
"Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, Jabatan Siasatan Jenayah dan pasukan khas (Task Force) yang mengekori kereta itu, turut berhenti dan menahan kereta tersebut.
"Namun apabila pemandu kereta berkenaan nampak anggota polis mendekati mereka, dia bertindak memecut kereta yang dipandunya itu,” katanya dalam sidang media di IPD Tanah Merah di sini, hari ini.
Menurutnya, anggota terus mengejar suspek dengan kenderaan polis sehingga sampai ke jalan mati, namun suspek cuba meloloskan diri dengan melakukan pusingan U.
"Salah seorang suspek dalam kereta itu bertindak membuang bungkusan plastik melalui tingkap sebelah pemandu dan kita terpaksa merempuh kereta tersebut dari arah depan sebelah kiri yang menyebabkan kereta tersebut terbabas ke dalam parit.
"Kita dapati empat suspek dalam kereta itu cuba lari tetapi akhirnya berjaya ditahan selepas bergelut dengan anggota polis. Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap suspek, kesemuanya positif Metaphitamine dan salah seorangnya mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Suzaimi berkata, pihaknya turut menemui 10 plastik biru mengandungi 2,000 biji pil kuda, satu bungkusan dadah jenis syabu seberat 51 gram dan tiga botol heroin seberat 17 gram yang dianggarkan bernilai RM 25,000.