MELAKA - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berangkat melawat Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Bandar Hijau, Hang Tuah Jaya di sini.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan, Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali dan Senator Ras Adiba Radzi.
Terdahulu, Sultan Nazrin tiba pada jam 10.20 pagi dan berkenan menghadiri taklimat penerangan mengenai Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak itu selama kira-kira 20 minit disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif pusat itu Dr Hafez Hussain.
Baginda kemudian berkenan beramah mesra dengan pelatih pusat itu dan melawat kemudahan rehabilitasi antaranya gimnasium, fisioterapi, terapi cara kerja dan pusat akuatik.
Sultan Nazrin juga berkenan melihat sendiri kemudahan pusat neuro-robotics rehabilitation and cybernics sebuah pusat rehabilitasi mengguna pakai teknologi robotik dari Jepun iaitu Hybrid Assistive Limb (HAL) yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.
Baginda kemudian berkenan melawat fasiliti latihan vokasional disediakan antaranya bengkel jahitan.
Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak terletak dalam kawasan seluas 22.26 hektar mula beroperasi pada 1 Oktober 2014 bertujuan membantu orang berinsurans Perkeso dan golongan pekerja untuk dipulihkan secara fizikal dan vokasional sehingga kembali ke alam pekerjaan serta masyarakat dengan keupayaan yang maksimum. - Bernama