YAN - Kegiatan licik seorang bekas banduan yang terbabit tiga kes samun di sekitar daerah ini sejak Jun lalu akhirnya tumpas selepas diberkas polis tengah malam tadi.
Suspek berusia 36 tahun itu ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Pokok Assam, Jalan Sungai Tiang, Pendang, 12.15 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, modus operandi suspek ialah memperdayakan warga emas yang tinggal seorang diri kononnya mahu bertanyakan sesuatu sebelum menyamun barang kemas mangsa.
Menurutnya, suspek mengaku menjual barang kemas terbabit kepada kedai pajak gadai bagi mendapatkan wang.
"Pada 26 Jun, suspek menyamun gelang emas bernilai anggaran RM4,500 milik wanita berusia 70 tahun di Kampung Titi Bakong selepas bertanya lokasi rumah seseorang dan meminta air minuman.
"Pada 30 Jun pula suspek menyamun rantai leher bernilai anggaran RM12,000 milik wanita berusia 75 tahun di Jalan Dulang, Yan selepas memperdaya mangsa kononnya ingin bertanyakan arah jalan.
"Pada 16 Julai, suspek menyamun seutas rantai leher dan dua rantai tangan bernilai anggaran RM5,500 milik wanita berusia 74 tahun di Yan Kechil," katanya.
Shahnaz berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas dua telefon bimbit jenama Vivo dan Oppo dipercayai milik suspek.
"Saringan air kencing suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan hasil semakan lampau suspek yang baru sahaja dibebaskan dari penjara dikesan mempunyai lebih 12 rekod kesalahan berkaitan dadah dan jenayah.
"Suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.