KOTA BHARU - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen (PVATTBM) menyambut baik saranan berterusan kerajaan untuk mengesan bekas perajurit bagi membela kebajikan kumpulan tersebut.
Setiausaha Agungnya, Datuk Haidi Aziz berkata, keseriusan kerajaan sentiasa menggalakkan bekas-bekas tentera untuk berdaftar dengan persatuan yang membela nasib mereka perlu dilihat dalam aspek positif dan bukannya bermusim.
Sehubungan itu, Haidi berkata, pihaknya sentiasa bersedia memberikan sokongan kepada kerajaan turun padang untuk mengesan kumpulan sasar agar nasib bekas pejuang negara ini dihargai dalam pelbagai bentuk.
"Di samping usaha dilakukan persatuan dengan turun ke kawasan-kawasan, saya juga menyeru bekas-bekas tentera itu sendiri mengambil peluang tampil ke hadapan supaya kerajaan dan pertubuhan dapat membantu mereka.
"Banyak inisiatif disediakan kerajaan untuk membantu kita tetapi masih ada yang tidak menikmatinya kerana sukar untuk persatuan salurkan sumbangan memandangkan kami tidak mendapat maklumat,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas saranan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengharapkan bekas tentera terutamanya yang tidak berpencen berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran demi kebajikan mereka.
Terdahulu beliau menerima borang keahlian persatuan dari Jajahan Gua Musang Kelantan seramai 70 ahli baharu yang diserahkan Timbalan Ketua Cawangan Gua Musang, Muhammad Derahman sempena Mesyuarat AJK Negeri di sebuah restoran di sini.
Mengulas lanjut, Haidi berkata, persatuan sentiasa komited mengesan kumpulan tidak berpencen di seluruh negara untuk berdaftar dengan persatuan.
Setakat ini katanya, terdapat lebih 4,000 bekas tentera tidak berpencen telah berdaftar dengan persatuan di seluruh negara.