KOTA KINABALU - Gara-gara membunyikan hon seorang lelaki dibelasah pembuli jalanan hingga mengalami kecederaan di muka dan anggota badan di sini.
Perkara itu dikongsi pemilik akaun Facebook, Ivy Lyenn dipercayai isteri kepada mangsa.
Ivy Lyenn melahirkan rasa kecewa setelah melihat suaminya menjadi mangsa pembuli jalan raya meskipun sudah meminta maaf kepada penunggang motosikal terbabit.
Kata Ivy, suaminya dipukul dengan lelaki itu tanpa sebab munasabah dan dipercayai berpunca dari bunyi hon kereta.
Jelasnya, semasa kejadian, anaknya berusia 12 tahun berada di dalam kereta dan turut mengalami trauma sebaik melihat bapanya dipukul individu tidak dikenali.
Wanita itu juga mendedahkan membuat laporan polis berhubung insiden tersebut dan berharap lelaki tersebut diberkas.
Dalam pada itu, Ivy juga meluahkan rasa sedih berikutan rakaman video suaminya dipukul tanpa belas ihsan tular di laman sosial.
"Hari ini saya betul-betul sedih nampak viral kes suami kena pukul depan anak. Terima kasih kerana membantu merakam video ini, ia sebagai bukti.
"Saya begitu berharap polis mengambil tindakan. Manusia seperti ini harus pupus dalam dunia. Hilang nilai dan rasa hormat dalam dirinya," katanya.
Sementara itu, video rakaman durasi 27 saat tular di laman sosial menunjukkan lelaki memakai baju kelabu kelihatan memohon maaf kepada lelaki berbaju warna hitam.
Permohonan maaf seolah-olah tidak diterima apabila lelaki yang berang terus menengking, menumbuk, menendang mangsa hingga terduduk.
Sehingga kini, video tersebut ditonton lebih 10,000 tontonan sejak dimuat naik semalam.