Kelantan setuju terima lima MPKK tambahan

Iklan
Rina (tengah) ketika sidang media selepas kunjungan hormat di Kompleks Kota Darul Naim, hari ini.
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan bersetuju menerima lima lantikan dari Kerajaan Persekutuan untuk menganggotai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, seramai 10,896 MPKK akan dilantik di seluruh Kelantan membabitkan 681 kampung yang bakal berkuat kuasa pada Januari tahun depan.

"Seramai 11 orang MPKK untuk setiap kampung adalah pilihan dari kerajaan negeri manakala tambahan lima lagi dari Kerajaan Pusat,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Sebelum ini, pengumuman lantikan tambahan seramai lima anggota MPKK itu dipersoalkan Kerajaan Kelantan apabila ia maklumkan oleh ahli Dewan Negara, Senator Datuk Husam Musa.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah mempersoalkan kredibiliti Husam yang bercakap mengenai perkara itu.