KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Adun Terengganu bergelar ‘Datuk’ yang direman bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu berjumlah RM500,000, telah dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Penolong Kanan Pendaftar, Noradila Ab Latif mengeluarkan perintah itu selepas tempoh reman 3 hari yang dikenakan terhadap suspek berakhir hari ini.
Adun berusia 54 tahun itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi Sinar Harian, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan, dia dibebaskan kira-kira jam 11 pagi.
"Siasatan kini sedang dijalankan sebelum ia disiapkan dalam tempoh terdekat dan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.
"Sekarang ini bergantung pada hasil siasatan dahulu jika ada keperluan untuk memanggilnya semula. Tapi kita akan cuba untuk melengkapkan siasatan seberapa segera,” katanya.
Adun berkenaan sebelum ini direman selama 3 hari sejak Isnin lalu bagi membolehkan SPRM melakukan siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Suspek dikatakan mengemukakan tuntutan berjumlah RM500,000 pada Mei tahun lalu kepada Pejabat Daerah dan Tanah di sebuah daerah, bagi perbelanjaan untuk 32 program sedangkan program itu dipercayai tidak dilaksanakan.
Sebelum ini, pengerusi majlis belia yang berusia 38 tahun telah ditahan pada 8 Januari lalu dan seorang pegawai daerah berusia 59 tahun turut ditahan pada 13 Januari lalu, dan direman bagi membantu siasatan kes yang sama.