UMNO harap kemenangan percuma di DUN Slim

Iklan
Mohd Zolkafly Harun

TAPAH - UMNO Perak mengharapkan kemenangan percuma pada Pilihan Raya Kecil (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang dijadual berlangsung pada Ogos depan.

Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kemenangan mudah calon Barisan Nasional (BN) pada PRK itu nanti akan dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan untuk mengadakan pilihan raya tambahan pula negara sedang berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, situasi itu juga membolehkan semua parti politik memberi fokus kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Dalam keadaan negara berdepan pandemik Covid-19, adalah lebih baik parti-parti yang lain memberi laluan mudah kepada UMNO dan BN di DUN Slim.

Iklan

"Bagaimanapun kita tetap bersiap siaga sama ada berlaku pertandingan atau pun tidak. Semua jentera telah digerakkan dan kita sudah mengatur strategi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Daerah Batang Padang, di sini hari ini.

Mohd Zolkafly berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Datuk MA Tinagaran bahawa parti itu tidak akan meletakkan calon pada PRK DUN Slim nanti.

Iklan

Sementara itu, dalam satu sidang media berasingan, Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, jentera wanita dalam mod bersedia untuk bekerja demi mempertahankan kemenangan parti pada PRK itu dengan meneruskan tradisi UMNO membela rakyat.

"Wanita sudah memulakan kerja-kerja PRK ini dengan menganggap setiap PRK ada lawannya. Kita bersedia dalam kapasiti untuk mengekalkan kemenangan dengan majoriti baik.

"Semalam kita telah berbincang untuk bergerak dan sedia berhadapan sepertimana PRK lain. UMNO teruskan usaha berhadapan walaupun sapa jua calon yang bertanding,” katanya.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia pada 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 Ogos sebagai hari penamaan calon manakala 25 Ogos hari pengundian awal diikuti hari pengundian sebenar pada 29 Ogos.