Musabaqah fikir Profesor Dzulkifli

Iklan
Dzulkifli Razak

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah gergasi dalam usaha internationalisasi. Sebelum ini, gagasan Islamisasi Ilmu hanya tinggal melepaskan batuk di tangga. Muslimin terus lalai dalam zon selesa. Islamisasi menjadi alasan untuk elak dakwah dalam konteks global dan masyarakat majmuk.

Maka Profesor Dzul mengorak langkah berani membangunkan kembali umat dengan berkempen habis-habisan tentang kelestarian demi menyahut cabaran Rahmatan Lil Aalamiin. Semasa universiti begitu gila ranking, Profesor Dzul mempersoalkan sama ada ranking atau kelestarian yang patut diutamakan.

Iklan
Iklan

Apakah universiti ditubuhkan untuk kejar ranking demi ramai pelajar dan dana atau untuk menjaga kesejahteraan negara? Profesor itu mengorak dua langkah luar biasa iaitu mengaitkan kelestarian dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan dengan maqasid syariah.

Kedua-dua langkah itu adalah sangat inovatif yang tidak pernah terlintas oleh pihak lain. Profesor mengenal pasti perkataan ‘sejahtera’ sebagai kata kunci yang menggabungkan kelestarian, maqasid syariah dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Iklan

Profesor Dzul merupakan seorang pemikir Muslim yang berjihad untuk buktikan kepada dunia bahawa Islam mampu membawa kesejahteraan Lil-Aalamiin. Persoalannya ialah sejauh manakah profesor pendidikan Islam mampu bermusabaqah dengan falsafah dan wacana kolonialisme era pasca-kebenaran?

Contohnya, sejauh manakah kerjasama dengan UNESCO dalam melaksanakan SDG (Objektif Kelestarian) memudaratkan atau memanfaatkan kita amat bergantung kepada kekuatan kita sendiri. Kita akan hilang keseimbangan apabila UNESCO lebih kuat falsafahnya daripada kita. Sebagai menyahut era pascakebenaran, SDG UNESCO langsung tidak menyebut perkataan kebenaran.

Iklan

Di sini letaknya kelemahan wacana Profesor Dzul. Contohnya, Profesor Dzul telah menterjemahkan Maqasid Syariah Hifz Ad-Din sebagai preservation of faith. Hakikatnya Ad-Din bukanlah faith. Falsafah Cartesian telah menjadikan persoalan ilmu itu bermula dengan ke-aku-an iaitu formula ‘Aku berfikir, maka aku wujud’.

Maka persoalan epistemologi mendahulukan dimensi subjektif, kepercayaan individu. Maka timbul persoalan aku patut berfikir dengan apa. Dengan intelek? Dengan emosi? Dengan lima pancaindera? Dengan hati?

Bila Ad-Din difahami sekadar sebagai faith, maka sudah tentu ia mendahulukan dimensi subjektif, kepercayaan sahaja sedangkan perkara paling utama dalam Hifz Ad-Din adalah penjagaan martabat al-wahyu.

Maka di sini saya khilaf dengan pendapat Profesor Dzul yang meletakkan hati (qalb) sebagai pusat dalam rangka bulatan epistemologi. Ini menjadikan epistemologi mendahulukan dimensi subjektif.

Surah Al-Alaq menyebut:"Bacalah dengan nama Tuhanmu (bismi robbika)”. Ia tidak menyebut"Bacalah dengan hatimu (bi-qalbika).” Sesungguhnya Tuhanlah yang mengajar insan apa yang dia tidak tahu. Pengajaran Tuhan yang paling berharga ialah al-wahyu.

Maka, al-wahyu adalah pusat. Ini juga bersesuaian dengan logo Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang meletakkan al-Quran sebagai pusat dalam bulatan ilmu.

Demikian juga, maqasid syariah berupa bulatan di mana di pusat tengah ialah Hifz Ad-Din yang mentakrifkan makna maqasid-maqasid yang lain yang mengelilingi pusat tengah bulatan.

Di sini kita lihat bagaimana kekuatan falsafah hak kemanusiaan UNESCO yang berkait dengan Falsafah Cartesian telah mengatasi falsafah kita walaupun dalam perkara asas seperti makna Ad-Din.

Bagi epistemologi Cartesian, formulanya ialah"Aku, maka Tuhan”. Bagi epistemologi al-Quran, formulanya ialah iyyaaka na'budu (Hanya kepada Engkau, kami sembah) iaitu"Engkau, maka kami”, atau"Tuhan, maka Aku”.

Soal khilaf adalah lumrah dalam tamadun Islam. Usaha Profesor Dzulkifli dalam memartabatkan istilah ‘sejahtera’ dan menginternasionalisasi mindset dan budaya kerja amat penting bagi kita semua.

**Xifu Naser Tun Rahman ialah Pensyarah Pemikiran Kritis UIAM