Tahun pertama Boris Johnson umpama 'neraka'

Iklan
Boris Johnson berjaya membawa keluar Britain daripada Kesatuan Eropah pada Januari lalu. - AFP

LONDON - Seorang wakil rakyat Britain pernah menganggap tempoh 12 bulan Boris Johnson sebagai perdana menteri adalah ibarat 'neraka'.

Kenyataan itu disiarkan di akhbar Guardian pada 23 Julai lalu, sehari sebelum ulang tahun pertama beliau memerintah negara tersebut pada Jumaat lalu.

Iklan
Iklan

Ketika memerintah, Johnson yang mempunyai darah berketurunan wartawan Turki pada zaman kerajaan Uthmaniyyah kini berdepan dengan krisis koronavirus (Covid-19) sehingga menjejaskan ekonomi Britain.

Johnson juga menghadapi tentangan Parti Buruh yang membangkang, peningkatan kekuatan golongan nationalis Scotland dan isu pentadbiran berpusat dan masalah perdagangan akibat tidak lagi menjadi anggota Kesatuan Eropah (EU).

Iklan

Pada masa yang sama, wujud kebimbangan sama ada beliau mampu menyelamatkan perdagangan dengan EU selepas negaranya keluar dari EU atau lebih dikenali sebagai Brexit.

Bagaimanapun, satu tinjauan pendapat yang disiarkan pada Khamis lalu pula menunjukkan 89 peratus responden menyatakan Johnson, 56, sepatutnya kekal menjadi seorang pemimpin.

Iklan
Rishi Sunak disebut-sebut sebagai wakil rakyat yang mampu menyaingi kepimpinan Perdana Menteri, Boris Johnson. - AFP

Terdapat dua pandangan yang berbeza berhubung masa depan bekas Datuk Bandar London itu memimpin Britain.

Para pengkritiknya mendakwa prestasi pemerintahannya tidak tegas.

Menurut portal The House pada 27 Julai lalu, seorang pekerja menyelenggarakan lebuh raya, David Barnard, 33, yang mengundi parti Konservatif pada Disember tahun lalu berkata:"Ia merupakan tahun neraka baginya untuk mengambil alih (menjawat jawatan perdana menteri).

Hakikatnya Barnard tidak salah.

Dalam tempoh 12 bulan lalu, Britain telah meninggalkan EU, puluhan ribu penduduk meninggal dunia akibat pandemik Covid-19 yang juga menjejaskan ekonomi United Kingdom (UK),

Dalam tempoh itu, parti Konservatif menang pilihan raya umum dan protes persamaan kaum pula merebak ke Barat selepas kematian penduduk kulit hitam, George Floyd akibat tindakan seorang pegawai polis di Amerika Syarikat (AS) pada 25 Mei 2020.

Ketika ditanya markah yang perlu diberikan kepada Johnson ketika memerintah pada tahun pertamanya Barnard berkata:"Saya mungkin menyatakan B (markah). Beliau mempunyai beberapa perkara yang dicampakkan ke arahnya yang menjadi sukar untuk mana-mana pemimpin (menyelesaikannya)."

Parti Konservatif pimpinan Johnson sebelum ini pernah memenangi majoriti terbesar dalam pilihan raya umum pada Disember tahun lalu dengan kelebihan majoriti 80 kerusi.

Ia merupakan majoriti terbesar pernah dicapai Konservatif berbanding pada zaman pemerintahan Perdana Menteri, Margaret Thatcher pada era tahun 1987.

Johnson mengadakan pilihan raya itu beberapa bulan selepas menggantikan Theresa May.

Kemenangn pilihan raya itu membuka jalan kepada perpisahan daripada EU pada 31 Januari lalu.

Menurut akhbar Daily Mirror, Johnson pernah juga menghalang ahli-ahli Parlimen bertindak menghentikan Britain daripada meninggalkan EU dan menyingkirkan 21 anggota Konservatif.

Bagaimanapun, janjinya untuk memulakan era baharu Britain dengan melakukan pelaburan dalam bidang perkhidmatan awam dan infrastruktur terjejas akibat Covid-19.

Johnson kini bercerai dengan isteri yang kedua, Marina Wheeler iaitu ibu kepada empat orang anaknya dan bertunang dengan Carrie Symonds.

London turut terjejas akibat pandemik koronavirus yang melanda seluruh dunia. - Foto AFP

Beliau pernah dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital kerana Covid-19 dan memperoleh seorang anak lelaki hasil hubungan dengan Symonds beberapa minggu selepas keluar dari ICU.

Bagaimanapun, caranya menangani pandemik Covid-19 menimbulkan persoalan kerana lebih 45,000 penduduk sudah meninggal dunia dan jumlah itu lebih ramai berbanding dengan mana-mana negara di Eropah.

Menurut portal New Statesman, para penyokong Konservatif kini semakin gelisah dengan pentadbirannya.

Akhbar-akhbar Daily Telegraph dan Daily Mail menjadi lebih kritikal terhadap kepimpinannya.

Terdapat cakap-cakap bahawa Canselor Britain yang menjaga perbendaharaan Britain, Rishi Sunak berusia 40 tahun akan menggantikannya sebelum pilihan raya akan datang.

Ini adalah kerana terdapat petunjuk wujud perasaan tidak puas hati dalam kalangan Konservatif berhubung kuasa yang diberikan kepada ketua penasihatnya yang paling dipercayai Johnson, Dominic Cummings.

Menurut tinjauan pendapat YouGov, Sunak iaitu anak pekerja kesihatan berketurunan India dan berpendidikan Oxford mampu memenangi sebarang pertandingan kepimpinan dengan kemenangan besar pada masa depan. - Agensi