JENAMA pau Nur Iman keluaran Nur Iman Frozen & Food Supply semakin dikenali dalam kalangan pengguna selepas lebih sembilan tahun berada di pasaran.
Pemiliknya, Mohiddin Abas berkata, beliau memulakan perniagaan dengan mengeluarkan pau ayam, daging dan kacang dalam kuantiti 1,000 biji sehari melibatkan modal sebanyak RM100,000.
Menurutnya, syarikat milik Bumiputera yang bertapak di Sungai Tua Tanah Gantian di Gombak, Selangor itu kemudiannya menambah lagi variasi produknya kepada pau coklat, kaya dan kelapa serta roti gebu.
Katanya, tahap pengeluaran produknya pernah mencapai permintaan 8,000 biji sehari namun kini jualannya hanya 5,000 kerana terjejas akibat keadaan ekonomi yang tidak menentu selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.
Susulan itu, katanya, beliau terpaksa mengubah strategi perniagaan agar tidak bergantung kepada permintaan pekedai semata-mata, sebaliknya turut meningkatkan pengedaran produk sejuk beku.
"Walaupun kami terlibat dalam sektor penyediaan makanan, namun kami turut terkesan dengan pelaksanaan PKP.
"Selepas PKP, kami terus pergiat semula perkhidmatan sejuk beku dan sedang mencari ejen bagi merancakkan lagi promosi pau kami kepada pengguna,” katanya kepada Bisnes Sinar.
Justeru, beliau mengalu-alukan ibu tunggal mahupun mereka yang baru kehilangan kerja untuk menjadi ejen pau Nur Iman.
"Tak perlu bayar untuk menjadi ejen sebaliknya cukup hanya mengambil 10 kotak pau pada harga kilang sebagai permulaan.
"Kalau nak ikutkan kami memang sudah mempunyai ejen tapi kami mahu memperbanyakkan lagi bilangannya,” katanya.
Katanya, beliau menyasarkan pau sejuk beku mampu mencapai jumlah pengeluaran 10,000 sehari sehingga hujung Disember ini.
"Pada masa sama, pengeluaran pau harian yang ditempatkan di kedai makan dan petrol pam pula akan ditingkatkan kepada 500 biji pada setiap bulan.
"Buat masa ini, pengeluaran semasanya adalah 5,000 sehari melibatkan edaran di Lembah Klang termasuk Shah Alam; Bangi dan Klang di Selangor selain Melaka; Seremban, Negeri Sembilan dan Terengganu,” katanya yang mengusahakan perniagaan tersebut kerana mahu membantu orang Islam mendapatkan pau halal.
Lembut, gebu
Pau keluaran Nur Iman diadun dengan tepung yang diuli sebanyak 13 kali bagi memastikan teksturnya benar-benar lembut dan gebu.
Di samping itu, pau berkenaan juga melalui proses pembungkusan yang teliti agar isinya tahan lama ketika dijual.
Memandangkan pau adalah makanan tidak tahan lama, syarikat berkenaan hanya mengeluarkannya mengikut tempahan.
Nur Iman Frozen & Food Supply Pau ditubuhkan pada 2011.
Syarikat yang memiliki sijil halal itu beroperasi dengan bantuan lima orang pekerja.
Setakat ini, Mohiddin berkata, beliau fokus mengukuhkan jenama produk makanan tersebut di pasaran tempatan walaupun turut menerima permintaan daripada luar negara.
"Saya fikir pasaran dalam negara pun masih banyak yang belum diteroka. Jadi lebih baik saya fokuskan produk kami di Selangor dan Malaysia dahulu.
"Tapi kalau ada modal yang besar sudah tentu saya akan kembangkan perniagaan pau ini hingga ke pasaran luar negara,” katanya.
Di samping itu, tambahnya, beliau juga fokus untuk melatih lebih ramai anak muda melibatkan diri dalam perniagaan.
"Cuma yang menjadi cabaran utama sekarang adalah cara pemikiran anak muda lebih mengutamakan untung yang besar.
"Mereka menganggap menjual pau tidak menguntungkan walhal pasaran pau keluaran syarikat Muslim mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pengguna,” katanya.