KEBANYAKAN penjaga gol hoki di negara ini mempunyai masalah dari segi penerapan teknik yang sesuai, sekali gus gagal mengawal gawang dengan baik, kata legenda hoki kebangsaan S Kumar.
Bekas penjaga gol skuad hoki lelaki negara itu mendedahkan, kegagalan menerapkan teknik yang betul seperti ketika merebahkan badan atau menutup ruang gol serta mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya atau D, akan memberi kesan jangka panjang dalam perkembangan karier seseorang penjaga gol itu.
"Dalam menjaga gawang gol, teknik perkara paling penting. Banyak yang saya lihat di negara ini penjaga gol kita ada masalah teknik, dan itu mesti diperbaiki segera, jika tidak kita tidak akan dapat penjaga gol yang layak beraksi di peringkat tertinggi.
"Teknik kalau bagus dan betul, kemahiran seseorang penjaga gol itu akan jadi lebih bagus, tetapi kalau teknik tak bagus, banyak kerja perlu dilakukan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad remaja kebangsaan, di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Kumar, 40, mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa selepas 20 tahun menabur bakti kepada negara pada Februari lepas, dan dilantik sebagai jurulatih penjaga gol pelatih bagi skuad remaja negara.
Beliau yang dianggap sebagai penjaga gol terbaik negara, serta antara terbaik dunia dengan mengumpul 321 penampilan di peringkat antarabangsa, kini bersedia ‘menurunkan’ ilmu dimiliki kepada barisan penjaga gol muda, menjelang Piala Remaja Asia 2021.
"Pada masa ini kami lebih kepada membetulkan teknik, kerana apa yang paling penting bagi penjaga gol adalah teknik,” kata penerima anugerah penjaga gol terbaik saingan Separuh Akhir Liga Hoki Lelaki Dunia (WMHL) 2017 itu.
Kumar yang juga bekas pemain pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan skuad kebangsaan sejak Sukan SEA Brunei 1999, merupakan antara watak utama membantu Malaysia meraih dua pingat perak di Sukan Asia (Guangzhou 2010, Jakarta-Palembang 2018), serta pingat perak Piala Asia 2017 di Dhaka.