Isi borang balik kampung

Iklan
Rahmat turun padang bertemu orang ramai di Pasar Pagi Taman Sentosa semasa program Sambutan Tahun Baharu Cina Polis Daerah Klang Selatan Bersama Masyarakat Taman Sentosa, hari ini.

KLANG – Orang ramai yang ingin meninggalkan kediaman untuk pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baharu Cina ini sekali lagi diingatkan untuk mengisi borang balik kampung di balai polis berhampiran.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Rahmat Ariffin berkata, ia bagi membolehkan polis mengetahui kawasan perumahan yang akan ditinggalkan dan melakukan pemantauan bagi mengelakkan kejadian jenayah, khususnya pecah rumah.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, seperti tahun sebelum ini, Ops Selamat 14 yang bermula pada 29 Januari hingga 12 Februari ini turut memberi fokus kepada pencegahan jenayah pecah rumah semasa perayaan Tahun Baharu Cina nanti.

"Jadi kita minta kerjasama penduduk yang ingin meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung halaman atau bercuti supaya mengisi borang balik kampung.

Iklan

"Tahun lalu, kita hanya menerima 200 borang balik kampung dan berharap ia akan meningkat tahun ini bagi memudahkan anggota melakukan rondaan bagi memastikan tidak berlaku kes pecah rumah di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa program Sambutan Tahun Baharu Cina Polis Daerah Klang Selatan Bersama Masyarakat Taman Sentosa di Pasar Pagi Taman Sentosa, hari ini.

Iklan

Program dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Negara.

Rahmat turut menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah keselamatan sewajarnya sebelum pulang ke kampung.