SHAH ALAM - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pertemuan di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru itu berlangsung hampir sejam.
Perbincangan menyentuh mengenai isu kesihatan semasa dan perkembangan terkini kerja pembaikan Wad Perubatan Perempuan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru yang terbakar pada Jun lalu.
Sultan Ibrahim sebelum ini bertitah, baginda berkenan membiayai kos membaik pulih wad berkenaan dengan kos pembaikan ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
Baginda amat menitikberatkan kesihatan rakyat dan ketika negara diancam penularan wabak koronavirus (Covid-19) sejak Mac lalu.
Baginda secara berterusan berkenan mengurniakan pelbagai sumbangan termasuk ventilator dan peralatan perubatan untuk kegunaan hospital di negeri Johor.
Sumbangan tersebut dilakukan menerusi YSIJ dengan kerjasama Yayasan Temasek dari Singapura, dermawan dan rakan baginda.
Dr Adham turut meluangkan masa melihat kemudahan perubatan berteknologi tinggi di dalam ambulans peribadi Sultan Johor.